Tuesday, March 10, 2009

NAMA 'ALLAH' DAN MEMPERTAHANKAN ISLAM

Kelam kabut jadinya dunia Islam di Malaysia kini. Ramai intelek Melayu muslim yang curiga dan takut apabila umat Kristian mahu menggunakan kalimah 'Allah' pada tuhan mereka. Malah umat Islam seluruhnya menjadi cemas dengan kebenaran Menteri Dalam Negeri yang suatu ketika membenarkan ia digunakan. Dan kebenaran itu ditarik balik atas alasan tertentu.

Sekarang isu ini dipolitikkan pula.. dan tentunya ia menimbulkan keraguan dan kebimbangan dalam kalangan umat Islam. Bagaimana kedudukannya pada sisi al-Quran dan Islam atas perkara ini?

Firman Allah bermaksud; "Jika ditanya kepada mereka -orang-orang kafir- siapakah yang menjadikan langit dan bumi ini?, nescaya mereka akan menjawab 'Allah'. (Al-Zumar: 38) Kalimah 'Allah' digunakan al-Quran bagi menyandarkan maksud tuhan kepada orang-orang kafir. Maknanya, al-Quran sendiri mengakui bahawa sebutan orang kafir itu kepada tuhan mereka adalah 'Allah'. Al-Quran menyatakan nama 'Allah' digunakan oleh orang bukan Islam dengan kefahaman yang nyata bahawa Tuhan mereka adalah berbeza sama sekali dengan Tuhan yang diwahyukan Allah melalui Rasulullah s.a.w.

Selain itu, jika kita nilai pada realitinya, orang Arab yang beragama Kristian juga menyebut 'Allah' yang merujuk kepada persepsi tuhan yang mereka fahami. Ini kerana kalimah 'Ilah' adalah bermaksud 'tuhan' dan tuhan pada orang Islam (akidah Islam) adalah Tuhan yang Esa, Satu yang tidak terpecah atau tidak berbilang lagi.

Namun begitu, kebimbangan umat Islam Malaysia akan menularnya pembudayaan Islam dalam agama Kristian akan berupaya mempengaruhi umat Islam, ada benarnya. Kita bimbang dengan pemakaian gelaran yang sama (kalimah Allah), menjadikan masyarakat kita terkeliru sama ada itu Allah Islam atau Allah Kristian? Perkara ini menjadi kebimbangan, kerana kemungkinan juga orang akan tertarik pada kalimah ALLAH semata-mata tanpa merujuk pada pengertian kalimah Allah menurut definisi pelbagai agama.

Justeru, eloklah rasanya dikekalkan pengharaman ke atas umat Kristian menggunakan kalimah Allah pada tulisan mereka atas waqie (realiti) beragama di Malaysia sahaja, biarpun Islam tidaklah mengharamkan penggunaannya. Pendapat ini mungkin berbeza dengan kenyataan Dr Mohd Asri seperti dilampirkan;

Kenyataan Dr Mohd Asri Berhubung Isu Nama Allah disiarkan pada Mar 10, 2009 dalam kategori Kenyataan & Penjelasan

"Saya bukan jawatankuasa PAS, atau orang Kelantan, namun bagi saya sesiapa yang menempelak kenyataan YAB MB Kelantan tentang isu nama Allah adalah mereka yang kurang jelas tentang akidah Islam, atau mempertahankan apa yang mereka tidak faham.

Saya telah tulis isu ini lebih setahun yang lalu dalam artikel saya yang disiarkan dalam MM bertajuk BEZA ANTARA MEREBUT NAMA ALLAH DAN MEMPERTAHANKAN AKIDAH. Saya telah kemukakan hujah dan alasan bahawa mereka boleh memanggil Tuhan dengan `Allah'. Al-Quran dan Sunnah membenarkannya.

Akidah bukan diukur dengan panggilan, tetapi dengan membezakan antara tauhid dan syirik. Majlis Fatwa Perlis semasa saya menjadi mufti membuat keputusan sebulat suara keharusan bukan muslim memanggil Tuhan dengan panggilan Allah. Jangan kita nak divert isu politik, kita bangkit isu agama, nanti agama menjadi mangsa permainan manusia. Saya nasihat kepada yang bising isu ini, jika nak berjihad, biarlah kena pada tempatnya..

Ini bukan isu yang patut kita bertarung kerananya. Jika ingin melarang bukan muslim guna nama Allah jangan sebut Islam melarang tetapi beritahu mereka peraturan Kerajaan Malaysia melarangnya atas sebab-sebab tertentu. Jangan jadikan isu agama nanti mereka hairan lain al-Quran cakap, lain pihak yang memakai jenama agama cakap. Apa yang patut JAKIM fikirkan adalah bagaimana cara agar bukan muslim dalam negara kita lebih faham dan suka dengan Islam"-Dr. Mohd Asri,Lampeter, UK."

(Hujahan Al-Quran itu tentunya benar, tidak pernah silap biarpun pada waktu dan masa yang berbeza..)

1 comment:

mamak said...

Saya bersetuju dengan pandangan sdr mengenai isu ini. Pada saya apa yang AMAT penting bagi umat Islam di Malaysia sekarang ini ialah KITA perlu perbetulkan akidah KITA. Mantapkan akidah, agar perkara2 remeh seperti ini tidak merisaukan kita. Selagi perkara akidah tidak diambil sebagai sesuatu yang serius, selagi itulah KITA di Malaysia ni akan main sorong tarik dan goyah bila menghadapi situasi seperti ini. Perlu diingat, sekiranya iman KITA telah mantap, tidak akan ada lagi ancaman/anasir yang dapat menggugatkan kedudukan kita.