Thursday, May 7, 2009

RAKYAT DIUTAMAKAN..

Moto pembaharuan DS Najib adalah Satu Malaysia dan Rakyat Diutamakan. Moto perjuangan yang baik, memikat dan boleh merubah persepsi rakyat kepada kepimpinan negara.

Sebagai hamba marhain, saya berpendapat banyak perkara yang perlu dilakukan bagi memenuhi impian 'rakyat diutamakan', antaranya termasuklah;

1. Mengurangkan kadar tol di semua jaringan lebuh raya kerana ia adalah sebahagian kos besar yang menghambat kewangan rakyat Malaysia

2. Mengurangkan tarif elektrik dan air; yang sebenarnya tarif air bukanlah semahal itu untuk dikenakan kepada rakyat, sedangkan bumi Malaysia ini tidak pernah kering air hujan, air perigi, air mata air.. Jika Saudi boleh membekalkan air dengan harga yang murah kenapa Malaysia tidak mampu berbuat demikian?

3. Mengurangkan tarif pembentungan najis; Indah Water yang mana Indah Water bukanlah setiap hari atau setiap bulan beroperasi, hanya saluran yang sedia ada sahaja itulah yang beroperasi. Kenapa perlu dikenakan charge yang tinggi pada setiap rumah (mengikut keluasan rumah) sedangkan pengurusan pembentungan hanya sekali dalam setahun, ataupun tidak pernahpun dilakukan.. Kos ini pada saya adalah terlalu berat. Jika dikenakan sebulan RM2 pada setiap rumah, adalah munasabah berbanding kos hari ini yang amat tinggi.

4. Mengkaji semula charge yang dikenakan ke atas pengguna oleh syarikat konglomerat komunikasi seperti Celcom, Maxis, TM dan seangkatan dengannya. Untuk melanggan Celcom, amat mudah yang boleh dibuat di mana-mana kedai di tepi jalan, tetapi ingat untuk menamatkan talian berkenaan, berbagai charge dikenakan ke atas pelanggan. Pemotongan sebelum setahun akan dikenakan denda, lewat membayar bil akan dikenakan denda, dan bermacam helah lagi yang direka-reka oleh syarikat gergasi seperti ini untuk mendapat keuntungan senang hasil perkhidmatan yang mereka sediakan. Perkara ini amat perlu dikaji oleh DS Najib bagi melaksanakan betul-betul konsep 'Mengutamakan Rakyat'

Kita bukannya ingin membentuk sebuah Negara Kebajikan, tetapi cukuplah dengan keprihatinan kerajaan mengkaji dan membuat tindakan wajar ke atas bebanan sara hidup yang perlu ditanggung oleh setiap isi rumah. Jika mahu dibandingkan Malaysia sebagai sebuah negara membangun dengan negara maju (Eropah dan US), kita dapati kos sara hidup rakyat Malaysia adalah tinggi.

Kenderaan (kereta) dianggap barangan mewah, sedangkan ia adalah barangan keperluan pada masa kini. Rakyat Malaysia terpaksa menanggung hutang selamat 7 - 9 tahun untuk sebuah kenderaan, sedangkan di UK hanya dalam 2 - 3 tahun, malah ada yang boleh dibeli dengan tunai.

Begitu juga dengan kos membeli rumah yang mana ia adalah keperluan asasi, namun apa yang terjadi ialah bebanan yang cukup tinggi perlu ditanggung pengguna. Hal ini mungkin boleh difikirkan bagaimana bentuk dan caranya untuk memudahkan dan meringankan bebanan hidup rakyat..

Kepada DS Najib dan anggota kabinetnya, kita harapkan mereka adalah yang terbaik untuk melaksanakan konsep 'Mengutamakan Rakyat' dalam bentuk realiti, bukan sekadar fantasi.

Selamat bertugas.

No comments: