Thursday, June 3, 2010

ZIARAH ARWAH CIKGU RAMLI

Saya tidak kenal dengan cikgu Ramli, cikgu di SK Gemereh namun ada sesuatu yang Allah ajarkan kepada saya untuk saya menziarahinya. Malam tadi Shida maklumkan bapa kepada muridnya di SMKSK meninggal dunia. Cikgu Ramli. Saya dengar dan buat tak kisah sahaja (walaupun YDP PIBG sekolah tu..)

Pagi tadi semasa menunggu hari terbuka Taski Al-Raudah bermula, saya sempat membeli sayuran di Pasar Tani dan bertemu BOB, dia kata nak pergi kerja tetapi hendak ziarah cikgu Ramli dulu. (Ingatan kedua Allah berikan kepada saya). Saya tidak terdorong lagi mahu menziarahinya.

Ketika singgah di Gemereh mencari madu lebah, Haji Zakaria memaklumkan kematian cikgu Ramli. Bukan sekadar maklumkan, malah ceritakan lagi, rumahnya di Jalan Temenggung, selepas surau. (Ingatan ketiga Allah berikan kepada saya).

Seusai membeli madu, terus saya menuju ke Jalan Temenggung dan menghadiahi 'qulhu' kepada seorang guru yang aktif sukan semasa hayatnya. Ternyata ramai kawan dan murid memenuhi ruang rumah dan seribu keinsafan menerjah ke dalam diri. Rupanya isterinya adalah guru anak-anak saya di SK Bukit Hampar dahulu. Subhanallah.

Terlalu ramai orang menyayanginya. Pergi dalam usia 44 tahun - Dia manusia hebat! Allah nampakkan di dunia nyata lagi.

(Takziah kepada Rina yang kehilangan bapanya semalam. Syukur kerana sempat saya sembahyangkan jenazah di rumahnya jam 6 petang semalam. Cerita Rina juga satu kebetulan luar biasa. Ketika kami meeting hendak ke Tioman, teringat saya nama Rina yang pernah mengikuti program UPENA di Muar. Saya menelefonnya dia maklumkan dia dalam perjalanan pulang dari KL. Dan pada waktu itulah saya mendapat maklum mengenai kematian bapanya; Samad Rosdi)

No comments: