Thursday, February 17, 2011

ALLAH UJI KAMI; ALLAH UJI AFIF

Ketika berlangsungnya IABC di Puteri Pan Pacific Johor Bahru (16 - 17 Feb 2011), Allah datangkan ujian kepada kami. Jam 2 petang ketika saya di UiTM Kampus Bandaraya JB, Larkin, Shida memaklumkan Afif kemalangan jalan raya. Motornya terbabas. Dia dibawa ke Hospital Tangkak dan terus dipindahkan ke Hospital Sultanah Fatimah Muar (Hospital Muar). Kecederaannya agak berat.

Sehabis mesyuarat dengan YB Datuk Maulizan Bujang di Persada Johor, saya bergegas pulang menuju Muar. Jarak perjalanannya agak jauh. Tiba di hospital sekitar 9.45 malam melihat Afif terbaring di atas katil Wad 4. Tahap 'kesedarannya' agak lemah mungkin kerana bius yang diberi untuk menahan sakit. Lututnya luka teruk dan mungkin patah; Wallahuaklam. Luka di dagunya agak panjang termasuklah dalam rahangnya. Beberapa gigi depannya rosak, selain kaki kanannya berbalut terseret jalan.

Ya Allah, tidak sampai hati saya melihat kepedihan dan kesakitan yang dilaluinya. Lewat 1 pagi ketika dia dikejutkan saya memberikan air minum (minum terakhir sebelum berpuasa untuk pembedahan keesokan hari), dia mahu berbicara. "Maafkan Afif, abah."

Katanya dia bangun awal pagi tadi menyediakan sarapan untuk adik-adik. Kemalangan terjadi di sekitar Sagil setelah motornya terbabas ke bawah ketika hujan gerimis.

Ia telah terjadi.

Sememangnya kami tidak benarkan dia menunggang motorsikal, tetapi dalam konflik antara keselamatan dan kehendak keremajaan yang mendesak, tarik dan tolak itu suatu perjudian yang sukar hendak ditelah.

Ya Allah, Kau sembuhkanlah anak kami.. dia seorang yang baik yang tidak termampu untuk menerima kepedihan seperti ini. Ya Allah, ampunilah kami...

(Dr Mariam -Pengetua MRSM TGB, Jasin - tadi menelefon saya bertanya khabar... begitu juga Ustaz Sabri) .

Dalam hal ini, tiada siapa perlu dipersalahkan. Kita merancang dan saya bersyukur Afif sedia menerima tanggungjawab untuk ummah dan sekolahnya, hanya kecuaian kita dalam beberapa perkara, ia terjadi dan berlaku tanpa diundang.

Saya mohon doa restu daripada semua mendoakan semoga Afif cepat sembuh dan selamat dalaman dan luarannya, untuk kembali berbakti kepada ummah. Afif perlu kuat...

3 comments:

Ilham Ainol said...

Salam ustaz.

Allahhuakbar. Sesungguhnya Perujian-Nya teramat berat bagi Afif dan ustaz sekeluarga. Hanya keredaan dan usaha yang berlipat ganda bakal memudahkan ustaz sekeluarga menghadapinya. Saya doakan ustaz sekeluarga tabah dan Afif segera sembuh. Amin!

Ahmad Nawawi Yaakob said...

Terima kasih Sdr Ainol dan rakan-rakan yang mendoakan kami.

Akma Rosle said...

Get well soon Afif..

Semoga ustaz sekeluarga dan Afif juga diberikan ketabahan untuk menghadapi semua dugaan dariNya..

Amin~