Saturday, February 19, 2011

HARI INI

Hari Khamis (17 Feb) jam 9.30 pagi Afif dibawa masuk ke Bilik Bedah. Pembedahannya berjalan agak lama sehingga jam 4 petang. Dalam pada waktu itu juga kami dimaklumkan Afif telah dibawa masuk ke Bilik Rawatan Rapi (ICU). Berdebar-debar kami mendengarnya. Shida kesejukan dan tergamam. 'Kenapa ni abang?'

Saya bertanya Doktor Tan Chee Sean (doktor muda di bahagian wad), yang memaklumkan untuk tinjauan lanjut sebelum dibenarkan ke wad biasa. Hati mana yang boleh tenang sebegitu mudah. Saya menghubungi Dr Halim (rakan IKRAM Muar) untuk cuba mendapatkan penjelasan. Sejurus Dr Halim masuk, kamipun turut sama ke dalam setelah jam 4.30 petang.

Jam 4.30 saya dan Shida dibenarkan masuk melihat keadaannya. Dia terbaring kaku di atas katil dengan saluran oksigen menjalar di lubang hidung. Dagu, tangan kanan dan lutut hingga ke kaki kanan berbalut kemas.

Saya sempat bertanya doktor pakar bius yang memaklumkan keadaan sebenar. Terasa lega sedikit dengan penjelasannya. Afif diICUkan bagi memastikan kestabilan badannya dengan alatan oksigen dipasang terus. Malah dia diberikan pelalian untuk tempoh panjang sehingga keesokan hari (Jumaat).

Kami mundar mandir menantikan debaran 'kesedaran" Afif. Tapi itu bukanlah masanya yang tepat. Dengan pembedahan di lutut, tangan dan rahang berjalan selama 7 jam, tentunya tidak semudah itu untuk dia dibenarkan merasai kesakitannya...

Dalam keresahan, beberapa rakan kami turut sampai. Haji Toha, Haji Jaafar dan Azman (surau TY) tiba. Diikuti Cikgu Fazludin dan Cikgu Naim SUKSES. Rakan IKRAM Akh Anuar n wife, Yudasma dan anak-anak, Akh Abdullah turut datang. Datangnya sahabat dan rakan ibarat rahmat hujan setelah kemarau panjang. Ia. Dalam keadaan kita lemah dan tidak ketentuan rasa, rakan-rakan yang datang memberi sokongan, memberi perhatian... Dan sayapun boleh bercerita itu ini, meluahkan itu ini dan keyakinan serta kedamaian menjelma kembali.

Jam 5, Shida saya tumpangkan pulang ke Segamat dengan Cikgu Fazludin dan Cikgu Naim. Itu juga rahmat Allah kepada kami. Jika mereka tidak datang, bererti saya kena hantarkan Shida pulang ke Segamat kerana Sara dan Ibrahim masih di rumah penjaganya; Kak Mai. Syukur.

Rakan setugas UiTM; En Badrol, Hj Anuar, En Husin dan Hashim menyerahkan surat GL, diikuti Kang Talib, Zai dan Puan Azura yang membawa bersama Nuha, Syani dan Alia... sungguh menyentuh rasa seorang abah. Ketika saya bawa Nuha ke bilik ICU melihatkan abangnya kaku, Nuha terus menangis. Menangis tanpa henti. Saya sendiri tidak tertahan melihat situasi itu.

"Nuha, Abang Afif sakit. Tapi doktor telah rawat dia dengan sebaiknya. Abang Afif ok. Nuha tolang doakan abang Afif ya... Nuha tolong doakan Abang cepat sembuh!"

Sehingga Maghrib, Talib dan Zai kembali meniggalkan Hospital Pakar Sultanah Fatimah. Saya membaringkan badan kelesuan di dalam kereta sebelum sempat berbuat apa-apa. Letih dan lesu seharian ke sana ke mari.

Akhirnya saya tidur di wad 5 hingga menjelang subuh.

No comments: