Saturday, February 26, 2011

KHAMIS 24 FEB 2011

Hari ke 9. Hari terakhir Afif di Hospital Muar.

Paginya Afif mendapat rawatan gigi yang diikat, mungkin dipastikan ikatannya betul di samping membersihkan gigi. Ubat antibitik sudahpun cukup menurut perkiraan doktor, malah terlebih barangkali..

Pn Zainab Juru Pulih Anggota utk gross motor -fisiotheraphy) datang membantu. Dia mengajar langkah Afif untuk duduk di kerusi roda. Setelah didudukkan, saya membawanya melihat Bilik Pembedahan, Bilik ICU dan wad-wad sekitar. Sampai ke wad 4, doktor memaklumkan Afif boleh keluar wad hari ini. Alhamdulillah.

Dr Tan (Orthopedic) berulang kali memeriksa Afif. Uncle Isa datang berziarah dan sempat saya keluar makan di warung kecil di tepi jalan. Sedap dan ringkas.

Saya segera berkemas alatan dan barang-barang. Kerusi malas, beg baju dan barang makanan siap dimasukkan ke dalam kereta. Namun doktor berkejaran menguruskan pesakit yang baru tiba, kami menunggu hingga ke lewat petang. Banyak borang-borang yang perlu diisi, Dr Ros Aini dan Dr Farhana membantu, dibantu oleh Sister yang bertugas.

Setelah diuruskan bayaran (percuma!) dan mengambil ubat, kami segera berangkat meninggalkan Wad 4. Bersalaman dengan rakan-rakan di wad dan mengucapkan penghargaan terima kasih kepada semua doktor dan staf yang membantu. Terima kasih kepada semua..

(Bertolak jam 7 petang, singgah di rumah Akh Anuar dan terus ikut lebuh raya. Solat Maghrib di Bukit Kangkar, melewati hujan sepanjang perjalanan- seram sejuk di kawasan Sagil, tiba di rumah jam 9.30 malam. Kerusi roda telah ada dihantar Haji Toha, Encik Ghani, Kak Nah & Hazwani datang tepat pada masanya kami tiba...)

No comments: