Friday, August 12, 2011

HARI-HARI TERAKHIR PROF BERSAMA KAMI DI UiTMJ

Hari ini hari terakhir Prof dan Puan Roza bersama-sama kami di UiTM Johor. seluruh warga UiTM rasai kehilangan seorang tokoh, ketua dan pembimbing yang banyak menyentuh dan menyantuni kami untuk mencipta kerjaya dan kecemerlangan hidup pada situasi yang berbeza.

Prof dahulunya pernah berkhidmat sebagai Timbalan Pengarah Akademik di sini sekitar tahun 2000. Saya baru habis master dan belum kenal Prof. Sekali terjumpa di Bilik Peperiksaan, saya bertanya; Ini pensyarah baru ke? Oh rupanya TP HEA saya!! Terkena batang hidung. Masa itu, Puan Roza masih di Shah Alam, saya langsung tidak mengenalinya.

Kemudian Prof berpindah ke Shah Alam.

Seingat saya, apabila saya terpilih ke jawatan Pensyarah Kanan, Prof-lah antara orang yang pertama emailkan ucapan tahniah. Saya kagum dan pelik. Dari mana Prof tahu... (Masa itu saya tidak tahu yang Prof adalah ketua penilai kenaikan pangkat perjawatan di UiTM). Lagi sekali terkena batang hidung.

Apabila Prof datang ke Johor sebagai Pengarah (Rektor jawatan sekarang), hubungan kami menjadi lebih rapat. Sangat akrab. Puan Roza pula ditempatkan sebagai pegawai di Unit Kualiti,sepejabat dengan UPENA yang saya terajui pada ketika itu; dan tentunya lebih mudah saya mengenali keluarga Jementah ini.

Prof mendorong kami mengimarahkan masjid. Solat berjemaah. Akrabkan hubungan dengan Tuhan Rabbul Jalil. Itulah pesannya yang tidak pernah pudar hinggalah ke tazkirah terahkhir beliau pada pagi Jumaat ini (12 Ogos 2011).

Prof adalah manusia biasa yang Allah anugerahkan kepada kami. Manusia biasa itu menjadi luar biasa dan benar-benar melekat pada diri kami.

Hari ini hari terakhir beliau bersama kami. Beliau sempat memberi tazkirah, dan ramai yang hadir walaupun tidak ada juadah disediakan...

"Maafkan orang lain; jaga solat berjemaah; ujian dengan isteri dan anak-anak hingga terabai solat berjemaah; ujian paling besar ialah TIDUR; ujian dan bala sebagai jalan mendekatkan hamba kpd Tuhannya; bangunlah MALAM dan solatlah... solatlah; ajarilah anak-anak solat dan berjemaah; bangunlah malam hari-bangunlah wahai empunya diri...."

Dan kamipun bersalaman, berpelukan untuk beredar.

No comments: