Berjalan kaki menjadi kebiasaan kepada kami. Setakat 4 – 5
KM itu perkara biasa (ukuran batu yang digunakan ketika itu). Kami berjalan
kaki dari Pondok ke Padang Gelanggang, Kampung Tanjung, Kampung Pisang, Sungai
Sari, Lubuk Labi, Kampung Taban. Ke Kedai Hasan, kedai Wahab, kedai Pak Yeh,
kedai Pak Tam, kedai Dahaman; memang kami berjalan kaki, termasuklah ke
sekolah.
Pernah juga kami ke Bendang Raja (rumah Mak Cik Yah)
berjalan kaki. Kami naik bas hingga ke Kuala Nerang, dari Kuala Nerang ke
Bendang Raja tiada lagi kenderaan, lalu kami berjalan kaki. Yong, Makcik Melah
dan kami (Mad Chi dan saya) tidak kisah dengan perjalanan seperti ini.
Kebetulan ada kereta Morris Minor yang menumpangkan kami setelah separuh
perjalanan kami lalui. Setelah habis kenduri tahlil malam itu, kami menumpang
tidur dan pulang keesokan harinya.
Dalam masyarakat tradisi, kita tidak kisah menumpang tidur
di rumah saudara mara. Tiada apa yang tidak kena. Sayangnya ia menjadi semacam
janggal pada masa kini. Kita yang meletaknya sebegitu.
Orang lelaki dewasa kebiasaannya memiliki gerek (basikal).
Basikal besar, basikal tua. Ayah mengayuh basikal tuanya setiap hari kerana
itulah kenderaan terbaik yang kami punyai. Basikal ayah, milik ayah. Jarang
kami menggunanya. Basikal kami, basikal kami yang kami main. Basikal yang kami
main biasanya bersaiz sederhana – sedang-
lebih kecil daripada basikal besar.
Saya kerap menemani Ayah berkenduri dan solat mayat
membonceng belakang basikal besarnya. Kena jadi baik, kena ikut Ayah bertahlil,
baca qulhu, marhaban dan berzanji di merata kampung kerana itulah tugas Ayah
sebagai seorang imam.
Ketika Darjah Tiga, Ayah berikan basikal kecil (bersaiz
kecil, bentuknya sama seperti basikal besar, basikal tua) kepada saya. Lama
juga saya cuba menatih basikal kecil, jatuh dan bangun, luka dan darah. Saya
belajar naik di celah (naik celah) dahulu sebelum benar-benar mahir baharulah
naik di atas dan duduk di tempat duduk basikal. Semasa naik di celah, pernah
saya terjatuh dan lengan saya tersadung dawai kawat pagar dan berdarah beberapa
ketika. Itu perkara kecil untuk diberitahu kepada sesiapapun!
Bas RIDA (bas MARA) menjadi pengangkutan awam yang utama.
Prevek sapu dan teksi memang ada, tetapi tidak banyak. Paksu Man selalu menjadi
prevek sapu pada laluan Padang Sanai ke Kuala Nerang dengan berbagai jenis
kereta miliknya. Terutamanya hari Selasa dan Sabtu, ada Pekan Nat di Konerang. Kami
naik bas ke Pekan Kuala Nerang (Konerang). Ada kalanya emak membawa getah
sekerap untuk dijual di kedai apek di tepi sungai Kuala Nerang. Kami tidak
kisah. Ada yang membawa ayam hidup dan pisang di atas bas. Kami tidak kisah.
Itukan kehidupan kami. Pernah emak
tertinggal ikan yang dibeli di Kuala Nerang, terpaksalah kami tunggu bas
berkenaan turun semula dari arah Padang Sanai untuk mengambil ikan. Ikannya
tidak hilang. Itulah satu-satunya bas yang kami naiki di laluan Padang Sanai –
Kuala Nerang. Tiada yang lain.
1 comment:
Manfaat Kacang Hijau Untuk Sabung Ayam Bangkok AduanSelengkapnya klik Link di bawah :
https://pemainayam.net/manfaat-kacang-hijau-untuk-sabung-ayam-bangkok-aduan/
Post a Comment