Chaghik. Kami memanggilnya chaghik pada bahasa bukunya ialah
cengkerek. Chaghik banyak bersarang di bawah balaisah. Lubangnya mudah dicari.
Ada gemburan tanah di permukaan lubang menandakan ada penghuninya. Suaranya
amat nyaring, kadang kala mengganggu Pak Teh baca kitab di balaisah malam-malam
hari.
“Eh chaghik ni, wokpa mu hinger sangat!”, keluh Pak Daud.
Orang-orang tua pondok pula selalu membawa cerek ke
balaisah. Ia bagi memudahkan mereka berwuduk untuk solat Maghrib dan Isya.
Tidak perlu menunggu giliran di telaga Pak Teh, terutamanya jemaah perempuan.
Hampir setiap anak tangga ada susunan cerek milik jemaah masing-masing. Kami
kenal setiap pemilik cereknya. Awas jangan sampai terambil cerek tok itu dan
tok ini yang garang! Nahas.
Ketika sesi baca kitab (sama ada Pak Teh atau Tok Ayah Kob),
ataupun geng-geng yang awal habis mengaji Quran, kami di bawah balaisah sibuk
menangkap chaghik. Kami masukkan air ke dalam lubang chagik dan menunggu
senyap-senyap seketika sehinggalah si chaghik keluar dan kami segera
menangkapnya.
Chagiknya kami campak ke dalam telaga Pak Teh dan seronok
melihat ikan kaloi besar Pak Teh menangkap mangsa. Itulah kegembiraan kami.
“Hoi, budak mane yang amik A (air) aku ni? Habis secerek..
Hehh budak-budak ni, aku nak amek A semayang pun payah!”. Marah seorang jemaah
setelah didapati cereknya kering kontang.
Opp! Maaf! Bukan aku, mu lah tu...; masing-masing tidak mahu
mengaku.
No comments:
Post a Comment