Di kedai Pak Tam ada dijual pistol mainan, pistol mancis. Ia
diperbuat daripada besi dengan bidiknya seperti pistol benar. Pelurunya dalam
gelungan merah berbintik-bintik hitam yang dijadikan peletup setelah bidik
ditarik. Kami mahu memiliki pistol ini, tetapi kemampuan tidak mengizinkan.
Kami
hanya mampu beli tikam-tikam dan jika bernasib baik dapatlah pistol mainan.
Tikam-tikam hanya lima sen sekeping, dicabut dan tengok nombornya jika ada yang
mengena. Satu dalam seribu yang dapat. (Orang kata tikam-tikam ini haram, judi,
berdosa. Maaflah kerana kami terlalu kecil untuk menilai judi dan bukan judi
ketika itu). Hanya pada hari raya, kami ada sedikit wang lebih untuk membeli
pistol mainan jenis ini.
Lain daripada itu, kami buat pistol dan senapang sendiri.
Senapang kayu. Kami cari papan-papan perca dibuatkan laras dan pembidiknya
sendiri. Diikatkan dengan tali getah sebagai peledak, manakala pelurunya pula
berbentuk ‘L’ untuk kami tarik getah sebelum ditembak ke sasaran. Pelurunya
kami buat banyak-banyak, sekarung.
Kami panggil ‘senapang bedil’.
Kami main tembak-tembak. Dua pasukan berperang, kalau sudah
kena tembakan mesti mati, mati walaupun terkena tangan atau kaki. Tak aci tipu.
Tipu dan tak tipu itu bersifat relatif, strategi. Sudah kena tembak tapi tidak
mengaku, susah mahu dibuktikan. Kami bergaduh, bergaduh untuk bermain kembali.
No comments:
Post a Comment