Tuesday, December 18, 2012

MASIH SEPERTI DULU

Menjelang PRU 13, media utama kita masih juga seperti dulu. Mengulang benda yang sama untuk menghentam pihak lawan. Isu kafir mengkafir masih dilontarkan kepada penonton, selain dari pemaparan luar biasa 'kelemahan' dan 'keburukan' pembangkang.

Tanpa disedari sebenarnya penonton telah jelak dan terlalu muak dengan pemaparan isu sepeti itu. Bukan kerana kita tidak menyokong kerajaan, tetapi tindakan melulu menghentam pembangkang, membawa isu basi kepada penonton adalah suatu tindakan yang tidak bermoral dan sudah ketinggalan zaman pada era fb dan twiter ini.

Dengan asakan seperti ini, kadang kala pengundi atas pagar, dan pengundi muda mereka boleh menilai sendiri mana baik buruknya. Tidak hairan dengan penguasaan 100 peratus kerajaan mendominasi media perdana, penelanjangan luar biasa di luar batasan akal, menyebabkan pengundi muda bersimpati dengan pembangkang dan akhirnya pihak kerajaan yang rugi.

Kita amat hairan, tidak adakah juak-juak media yang lebih cerdik dan bijaksana dalam menilai 'keterbukaan' minda dan keterbukaan media dalam kalangan pengundi muda dan pengundi matang pada hari ini. Jika masih isu yang sama dipaparkan, jika keburukan yang sama didedahkan, orang ramai akan beralih angin ke pihak lain. Pemikir media perlu lakukan sesuatu dalam hal ini.

Kita perhatikan, PM DS Najib tidak secara langsung menghentam pembangkang - sedar atas kapisitinya sebagai PM dan kedudukannya dalam negara 'demokrasi', namun juak-juak di belakang tabir yang terlebih sudu dan akhirnya mencacatkan pembawaan pemimpin nombor satu negara. Jangan dipersalahkan orang nombor satu jika BN kalah, sebaliknya pemikir di belakang tabir yang berperanan menterjemahkan sebaiknya kepada rakyat untuk mereka nilai.

Mohon maaf atas pandangan marhain yang kurang arif dalam dominasi media dan politik...

1 comment:

Fariza Nurbaya said...

saya tidak sabar untuk mengundi dalam PRU-13 nanti. Jom kita ubah!!