Tuesday, May 3, 2016

KAWAN DI DUNIA, KAWAN DI AKHIRAT

Semahunya kita mencari kawan bukan hanya sebagai peneman di dunia, malah menjangkau ke akhirat. Mereka tentunya yang beriman dan bisa membantu kita ke jalan yang benar, menasihati kita sebaiknya, membantu dan mereka ghairah untuk menyelamatkan kejatuhan kita. Mereka adalah rakan sejati. Mereka bukan sekadar kawan untuk mencari makan, bukan sekadar kawan untuk bersuka-suka, bukan sekadar kawan untuk berkongsi rasa dan citarasa, malah kawan yang tulus ikhlas berkawan semata-mata kerana Allah.

Allah perintahkan kita berkawan, kita pun berkawanlah. Allah perintahkan kita menjadi baik sesama kawan, kita pun menjadi baik sesama kawan. Kita rela sabar dan reda dengan kawan-kawan yang ada masalahnya, kita rela sabar dan memaafkan kawan yang ada kesnya, kita rela menerima kawan pada ketika kawan itu amat perlukan kita. Dan jadilah kita kawan sejati, jadilah kita kawan yang membahagiakan kawan. 

Kawan itu tetapnya di hati sampai bila-bila. Bila kawan itu sakit, doanya panjang kepada kawan semoga kawan itu sembuh. Bila kawan itu gembira menyambut menantu, kawan ini turut gembira bagaikan mendapat menantu sama. Bila kawan itu tersenyum, kawan ini juga tersenyum melahirkan kegembiaraan. Dialah kawan sejati.

Lagi manis, bertambah manis bila mana kawan itu hadir pada saf-saf pertama berjemaah di masjid. Lagi manis dan bertambah manis, bila mana kawan itu sama-sama membaca al-Quran di dalam halaqah, lebih manis juga kawan itu yang sering membetulkan bacaan dan kesilapan kecil ketika ayat-ayat Allah dibacakan. Alangkah manisnya punyai kawan seperti ini. 

Kawan kita ini mahu sahaja kita bawanya ke syurga bersama-sama.

ٱلۡأَخِلَّآءُ يَوۡمَٮِٕذِۭ بَعۡضُهُمۡ لِبَعۡضٍ عَدُوٌّ إِلَّا ٱلۡمُتَّقِينَ 

(Kawan-kawan pada hari itu (kiamat) mereka saling bermusuhan kecuali orang yang bertakwa) (Al-Zuhkruf: 67)


No comments: