Thursday, November 3, 2016

ANAK-ANAKKU

Salam sejahtera anak-anakku

Bagaimana anak-anak melihat dunia dan kehidupan ini? Tentunya tidak sama sebagaimana kami melihat dunia dan kehidupan, kerana dunia kita jauh berbeza. Latar hidup kita juga berbeza, malah alam pendidikan juga terkesan oleh perubahan mendatang.

Biar pun anak-anakku berpendangan berbeza dengan kami sebagai ayah dan ibu, dan barangkali kelihatan ayah dan ibu mu ini ketinggalan zaman; tidak selari dengan edaran masa, namun lingkaran hidup itu tetap sama wahai anak-anakku.

Lingkaran hidup kita tetap sama, manusia itu hidupnya untuk bekerja mencari nafkah diri dan keluarga, lingkaran hidup itu tetap sama manusia tidak pernah berpuas hati dengan apa yang mereka miliki. Lingkaran hidup itu tetap sama, manusia mahu berkahwin dan berkeluarga. Lingkaran hidup itu tetap sama, manusia mahu senang dan bahagia. Dan pastinya semua itu tidak datang semudah bermain games bola di PC.

Anak-anakku, abah terlalu tua untuk terus menongkah arus, abah terlalu tua untuk terus menongkat langit. Abah dan ibumu terlalu tua untuk meleterkan itu dan ini, malah tiap patah ibu dan ayahmu ucapkan ini, tetap juga dipandang jelek oleh anak-anak, dipandang sebagai leteran yang membosankan, membencikan. JIJIK.

Anak-anakku, apabila ibumu bersuara, fahamlah abahawa ibumu itu mahu tahu bagaimana keadaan atau perkembangan semasa yang anak-anak lalui. Ia bukan soal beleter, bukan soal ayah ibu membenci perlakuan anak-anak. Ibu dan ayahmu ini mahu tahu apa yang anak-anak lakukan sekarang, tahap mana beradanya, apa pula yang sepatutnya kami boleh membantu. Namun dengan sikap anak-anak yang beranggapan, cakap kami ini adalah leteran dan satu kebencian, maka ia amat malang dengan anggapan seperti itu.

Bagaimana boleh kami membantu, jika anak-anak tidak pernah bersuara dengan kami, tidak pernah mahu berkongsi perkembangan dengan kami, tidak pernah mahu pun membuka telinga dan mata untuk dipersoalkan itu dan ini? Bagaimana kami bisa membantu jika ruang itu tidak dibuka sebaiknya kepada kami sebagai orang tua kamu juga.

Bagaimana selayaknya kami bersuara, jika setiap kali dibuka mulut, anak-anak mendengus lari meninggalkan kami. Bagaimana sealayaknya kami mahu berbicara jika sedikit kami persoalkan sudah diberikan muka mencuka masam berbalam-balam?

Anak-anakku, bangunlah. Bangkitlah daripada tidurmu itu. Bangunlah melihat dunia yang besar dan luas ini. Rezeki tidak akan datang bergolek, rezeki tidak akan datang semudah mencium bantal hingga mencecah Zohor bahkan Asar, datang ke lubang hidungmu itu. Bangunlah dan berusahalah dengan kudrat akal dan tenaga yang Allah berikan kepada kamu itu.

Akalmu cukup sempurna, fizikalmu juga cukup sempurna, apakah lagi alasan untuk menidakkan usaha kita demi amanah Allah kepada kita sebagai KHALIFAH-NYA. Bekerjalah kerana ia adalah amanah Tuhan, bekerjalah kerana ia bisa menghapuskan dosa-dosa yang kita pendamkan dikit berdikit. Bekerjalah kerana ia akan dinilai dan dilihat oleh Allah dan rasul-Nya.

Bangun dan mulakan langkah ke alam kerjaya. Abah tidak kisah kerja apa yang kamu lakukan, asalkan ia adalah kerja dan bekerja. Bukannya tidur dan tidur berpanjangan. Sememang benarnya hari ini mencari pekerjaan melalui alam maya, namun abah jauh lebih percaya kepada 'pertemuan alam realiti, alam benar' untuk meminang kerjaya. Bukankah itu lebih sopan, lebih kenal dan lebih dekat hubungan majikan dan pekerjanya?

Semahu sahaja abahmu ini melihat kamu ke pejabat sana, ke pejabat sini, ke gudang sana ke industri sini untuk mencari pekerjaan. Bukankah itu usaha namanya, bukankah itu ikhtiar namanya, bukankah itu mendekatkan kita dengan komuniti dan masyarakat namanya? Ia tentu jauh lebih baik daripada melempar email dan terus tunggu-tungguan sebegitu sahaja.

Bukan pula bermakna ibu dan ayahmu tidak suka kamu berada di rumah, bukan pula bermaksud ibu ayahmu ini tidak sanggup lagi menjaga makan minum mu, tetapi amat kami bimbang, kelekaan pada alam menganggur akan menjadikan dirimu kekal dan terus terbelengu dengan dunia mu seperti itu dalam tempoh yang panjang.

Anak-anakku, zamanmu ini jauh berbeza dengan zaman kami. Era kami, peluang kerjaya terbuka luas. Ibumu bekerja seawal 21 tahun sehabis maktab. Abahmu bekerja seawal 25 tahun sehabis U, malah setamatnya kuliah terakhir dahulu, abah telah mendapat kerja sementara sebagai guru sandaran di Setapak (Nostalgia tu.. Ummi hang tau). Abah juga dilantik pensyarah sambilan di fakulti untuk dua semester lamanya (setahun), sebelum memperoleh jawatan tetap di Sabah.

Tentunya abah tidak pernah memilih kerjaya apa, asalkan ia adalah kerjaya. Usah dirisaukan 'bidang' dengan kerjaya, kerana ia bukanlah ukuran mutlak untuk berjaya. Abah pernah bekerja kilang sehabis SPM, dan abah tidak menyesal kerja menjolok bagas ke dalam saliran air tebu. Sehabis STPM abah pernah menoreh getah, abah pernah menjadi guru di sekolah Tok Ayah sementara menunggu masuk U. Dalam pada itu, kehidupan kami di kampung membiasakan kami bekerja setiap hari. Kami ke sawah bendang membanting tulang, kami tahu menabur benih padi, kami tahu membajak sawah, kami tahu menabur baja, kami tahu mencabut semai, kami tahu mengerat padi dan kami sendiri yang memukul padi sebelum dibawa pulang ke jelapang di hadapan rumah.

Kami menjaga lembu seharian, kami menjaga kambing sekawan, kami memberi makan ayam pagi dan petang, kami tahu mencari buah-buahan untuk dimakan, kami memancing untuk lauk pauk di rumah, kami membuat pagar keliling rumah, kami memasak saban hari untuk keluarga, kami menjahit atap nipah menampung kos kehidupan, kami mengutip siput bendang untuk dimasak. Kami menguruskan dusun saban tahun, menebas dusun yang semak samun menantikan buah durian yang akan gugur. Setiap hari mengutip durian untuk dijual untuk bekalan perbelanjaan harian di dapur. Malah kami tidur di dangau dusun pada musim buahnya dan kami lalui semua itu sebagai satu tanggungjawab besar kepada keluarga. Kami laluinya dengan penuh kesedaran untuk menyara hidup kami sendiri.

Bangunlah lihat dunia ini. Aturlah hidupmu sebagaimana telah Allah aturkan kehidupan kita. Allah aturkan malam untuk berehat, maka berehatlah. Allah aturkan siangnya untuk bekerja, bekerjalah. Allah aturkan waktu solat, solatlah. Allah aturkan solat yang sempurna itu pada awal waktunya, maka solatlah pada awal waktunya. Allah aturkan solat berjamaah itu terlebih baik kepada kamu, maka solatlah berjemaah di masjid dan surau.

Anakku, pendidikan kita jauh berbeza. Pada seusia anak-anak ini, abahmu dahulu adalah kaki masjid. Abahmu sentiasa berjemaah di masjid, tidak pernah solat sendirian di rumah. Solat kami di masjid, solat kami solat berjemaah hatta solat Subuh sekalipun.

Puasa sunat kami puasa yang kami lazimi, pernah sebulan abah tidak berpuasa tiga hari sahaja, yang lainnya dihiasi puasa sunat. Abah memimpin solat malam bersama nenekmu, solat tasbih bersama nenek tuamu seketika dahulu. Sesekali abah nampak anak-anak solat malam, syukur abah kepada Allah. Namun saban pagi melihat anak-anak masih leka dengan bantal dan tilam, suatu yang amat mengecewakan kami. Sampai bila lagi anak-anak akan menjadi orang yang sebaiknya muslim yang lain?

Anak-anakku, abahmu ini terasuh pada dunia yang serba kekurangan. Abah miskin dan yatim. Ditinggalkan ibu seawal usia tujuh tahun, ditinggalkan bapa seawal usia 13 tahun. Kami menanggung kehidupan kami sendiri, kami merasai kehidupan kami sendiri. Cuba bangun berdikari walau kaki kami ini tempang tidaklah sekuat kudrat insan lain.

Anak-anakku, usah dipersiakan hidupmu. Usah dipersiakan usia mudamu. Usah diabaikan tugas dan amanah Allah di bahumu. Usah dibiarkan waktu berlalu dengan tangan kosong tanpa usaha dan ikhtiar. Allah murka kepada mereka yang mensia-siakan hidupnya sebegitu sahaja.

Maafkan abah wahai anak-anakku.

Salam kasih sayang drp abahmu.

ummuah...

No comments: