Saturday, December 24, 2016

BERSEMBUNYI - KENANGAN BERSAMA AYAH

Kelakon anak-anak berbagai. Ada kalanya pelik dan ada kalanya sukar diduga. Aku semasa kecil juga begitu. Kelakuan pelik yang entah kenapa aku buat, walaupun aku tidak suka. Kelakuan kebodohan yang tidak sepatutnya dibuat, tetapi sengaja dibuat tanpa tujuan, tanpa niat, tanpa matlamat yang hendak dicapai.

Suatu malam aku duduk di bawah tangga kayu di dalam rumah. Tangga kayu kecil itu tertutup sedikit dengan rasuk tangga. Walaupun kecil sahaja tangga itu, aku boleh memuatkan diri berlindung di bawah tangga.

Pada mulanya aku sekadar cuba berselindung daripada dilihat, dan ternyata tidak ada seorang pun perasan aku di bawah tangga kecil. Beberapa lama selepas Isyak, aku masih leka berlindung di bawah tangga sehinggalah Abang Mustafa dan Ayah balik dari surau.

Mereka mula perasan aku tidak ada.

Mad E tak dak.. dia hilang.. dia gi mane?

Lalu ayah dan abang pun bergegas mencari ke mana aku hilang. Aku tahu mereka sedang mencari aku, aku dengar setiap derap langkah mereka pijak tangga tempat aku bersembunyi. Aku diam kaku membatu di bawah tangga untuk beberapa waktu.

Saat itu aku terfikir, mereka telah mencari aku, maka eloklah diberikan sedikit waktu lagi untuk mereka mencari sebelum aku memunculkan diri.

Tidak lama, aku pun keluar dari persembunyian dengan selamba tanpa rasa bersalah sedikit pun.

Mu gi mane?

Aku diam membatu. Aku tidak mampu menjawab sekadar diam dan kami makan malam bersama-sama.

Maafkan aku Ayah, abang, kakak, makcik dan semua.

Perangai pelik itu sesekali muncul dalam diri yang pelik ini.

No comments: