Friday, December 23, 2016

TEMANKAN KAMI DI DANGAU DUSUN - KENANGAN DENGAN AYAH

Musim durian menjadikan kami lebih meriah dan bermakna. Musim durian memberi sedikit kelegaan kepada ekonomi keluarga kami. Jualan durian menjadi sumber pendapatan yang lumayan kepada kami sekeluarga. Setiap buah yang gugur ada harga yang perlu dibayar.

Harga durian kami ketika itu sebiji 70 sen atau seringgit jika besar. Biasanya peraih akan membeli dengan harga tangguh, kerana keesokan harinya baharu kami dapat bayaran setelah peraih menjual durian itu kepada pembeli lain di luar dusun sana.

Musim durian menjadikan kami lebih rajin. Kami kena menebas dusun, membersihkan pokok-pokok di bawah pokok durian. Kami perlu tidur di dangau bagi mengelakkan pencuri mencuri durian pada malam hari. Kami perlu berulang alik lebih kerap ke dusun bagi memastikan hasilnya dapat ke tangan kami.

Dusun Kampung Raja hampir empat ekar luasnya. Pokok-pokok warisan telah tua dan tinggi, namun buahnya amat sedap dengan berbagai cita rasa durian kampung.

Aku dan Sanusi sejak awal lagi akan tidur di dangau. Kami tidak takut untuk ke dusun pada malam hari. Kami berbasikal dan sampai ke dusun untuk tidur. Berbantukan lampu picit, kami mencari durian yang gugur pada waktu malam dan mengumpulnya di dangau sebelum dijual keesokan hari.

Ayah pernah menemankan kami di dangau. Biasanya Ayah akan datang lewat malam dan tidur bersama-sama kami, dan dia balik awal sebelum waktu Subuh. Kadang kala kami tidak tahu kehadirannya pada malam hari menemani kami.

Betul ke ayah datang?

Kami berbalah sendiri, tetapi tidaklah pula kami bertanyakan ayah tentang hal itu.

Kami tidak berani bertanyakan walaupun hal seperti itu, kerana dialah AYAH kami.

No comments: