Monday, January 6, 2020

AKU MELIHAT PADA UMURKU 55 (4) WAYANG PENERANGAN

Tahun 60an hingga awal 80an wayang pacak yang diuruskan Kementerian Penerangan begitu popular di kalangan kami. Ia antara point hiburan kami pada waktu itu. Panggung wayang hanya ada di Alor Star, ia amat jauh dan tidak terjangkau kami ke sana.

Wayang pacak Jabatan Penerangan adalah lidah rasmi kerajaan. Kami dihidangkan dengan beberapa kempen. Kempen ini tidak pernah tergambar oleh generasi kini.Termasuklah kempen pakai kasut bagi mengelakkan berkaki ayam. Pakai kasut untuk elakkan cacing daripada masuk ke dalam tubuh dengan gambaran kartunnya seekor cacing merayap masuk ke dalam kaki.

Kempen membina tandas di setiap rumah. Kerajaan menyediakan bantuan mangkuk tandas kepada setiap rumah. Tandasnya kenalah kita buat sendiri. Adakah kami tidak pernah buang air sebelum ini? Kami buang air pada semak-semak di tepi telaga, pokok pisang yang kering pun dapat baja basah daripada buangan kami.

Maka ayah pun galilah tandas pertama di rumah kami. Tandasnya hanyalah sebuah pondok dengan pangkin kayu berjejari kayu 3 x 2, dan bahan buangannya berjatuhan ditinggalkan sebegitu sahaja dalam lubang besar seperti itu. Tiada paip air, basuhnya di telaga!

Ada pula kempen memelihara ikan air tawar di tepian rumah. Kami hanya mampu menonton wayang pacak tetapi tidak termampu membuat seperti itu. Lagi pun sawah bendang kami luas, sumber ikan kami sedia terhidang dengan pancing atau alatan lain seperti sat, celeng, jala dan lukah.

Antara cerita menarik yang kami pernah tonton ialah .... (maaf dah tak ingat)


No comments: