Tuesday, March 25, 2008

HUBUNGAN KEKELUARGAAN

Ketika sekumpulan pelajar membentangkan tajuk “Hubungan Kekeluargaan: Kajian dalam kalangan remaja UiTM Johor’ lewat subjek CTU 551 yang saya ajar, banyak persoalan yang ditimbulkan. Respon rakan pelajar menunjukkan tahap perhubungan kekeluargaan mereka pada masa kini nampak semakin menipis dan lebih terfokus pada keluarga asas semata. Rantaian keluarga pecahan seperti hubungan bapa saudara, datuk nenek, sepupu dan ipar duai nampak semakin terasing dalam realiti hidup semasa.

Lebih malang apabila ada yang tidak pernah bertegur sapa dengan datuk dan nenek, tidak mengenal sepupu dan anak saudara. Kosentrasi pada keluarga asas dengan kekangan kerja dan kehendak yang perlu dipenuhi semasa menjadi pemangkin kepada wujudnya fenomena baru pendefinisian erti kekeluargaan.

Malah kita sendiri kalangan pekerja sektor awam tentunya lebih rapat dan kenal dengan rakan sejawat berbanding keluarga yang berjauhan dan bertebaran di merata tempat. Fenomena ini mewujudkan rantaian keluarga baru iaitu mereka yang bekerja dalam sesebuah organisasi adalah keluarga baru yang lebih utama dan diutamakan pada setiap keadaan. Majlis kenduri kendara, perkahwinan, keraian dan sebagainya – termasuklah hari keluarga- banyak berligar pada rakan sepejabat.

Mungkin tahap kedua yang lebih baik ialah rantaian kekeluargaan terjalin pada lokaliti setempat, iaitu taman perumahan atau kampung. Bagi penghuni warga taman, mereka sering ditemukan melalui masjid dan surau yang sama, majlis kenduri kendara atau aktiviti kemasyarakatan setempat. Di sinilah ruang baru pendefinisian erti kekeluargaan mengambil tempat berbanding pertalian darah yang terjalin selama ini.

Satu lontaran pertanyaan, siapakah keluarga kita pada hari ini sebenarnya?

No comments: