Thursday, June 19, 2008

MENGURUS JENAZAH HIV/AIDS

MENGURUS JENAZAH HIV/AIDS

Sedang kami bersedia untuk makan malam, SMS yang diterima menyatakan seorang penghuni Taman Yayasan meninggal dunia jam 8 malam. Selesai solat Isyak di surau, kami menziarahi rumah jenazah yang terletak berhampiran surau. Saya memberanikan diri membuka tutup muka jenazah dan terkedu dengan kudis kehitaman memenuhi mukanya, kurus kering dan dua keping syiling menutup matanya bagaikan jerangkung menakutkan. (Maaf bukan niat saya mengaibkan jenazah, tapi begitulah bahananya dadah dan HIV yang membelengu mangsa ini).

Jenazah akan diuruskan malam ini juga. Itu keputusan ringkas perbincangan kami.

`Siapa yang akan menguruskan jenazah, memandi dan mengkafankan?

`Pihak kami (hospital) akan sediakan alatan keselamatan, tapi urusan lain pihak sinilah yang selesaikan.’ Jelas pegawai dari hospital yang mengesahkan kematian dan mengawal selia urusan jenazah HIV.

Ini pengalaman kedua saya menguruskan jenazah AIDS/HIV. Gerun. Kain kapan tiga lapis dilapiskan pula plastik pada lapisan kedua. Kami dipakaikan baju plastik, sarung tangan dua lapis dan mask – penutup mulut – untuk memandikan jenazah. Jenazah yang kurus tidaklah menyusahkan kami biarpun bintik hitam menyelaputi seluruh tubuhnya, mukanya kehitaman dan kekudisan yang lama. Selesai dimandikan, sarung tangan kami ditukar dengan yang baru untuk tujuan mengkafan. Urusan jenazah HIV sebenarnya sama sahaja dengan jenazah biasa, cuma aspek keselamatan sahaja yang amat dititik beratkan. Tidak hairan jika ada orang yang langsung tidak memunculkan diri apabila mengetahui jenazah berkenaan HIV/AIDS. Takut. (Kalau semua takut, siapa yang nak menguruskan jenazah HIV?)

Hampir jam 12 jenazah selamat dikebumikan dan saya mentalqinkan lalu disudahi dengan doa tuan Imam. Kami pulang dari kubur jam 12.30 malam. Membersihkan badan dan tidur jam 1.15 pagi.

`Abang bau apa ni.. pergi mandi lagi lah..’

Saya mandi kali kedua bagi menghilangkan bau kapur gaharu yang merimaskan isteri. Fuh, nasib badan. Cabaran paling kritikal menguruskan jenazah AIDS ialah semasa memandikan kerana terdedah dengan air secara langsung. Jika pemandi jenazah berkudis atau terluka ia membahayakan.

Saya maklumkan hal ini kepada Puan Hajah Norlina dan dia membalas SMS saya; `Alhamdulillah.. tahniah. Semoga Allah memberi ganjaran pahala untuk ustaz kerana membuat kebajikan fardhu kifayah dan sebenarnya bila kita buat kerja ikhlas rasa satu kepuasan yang tidak boleh terucap oleh kata-kata. Saya tunggu ustaz muncul depan pintu rumah saya pasal buku kita.’ 17 Jun 2008, 23:04

1 comment:

aniisma said...

Salam ustaz

Alhamdulillah, masih ada yang sayang...walaupun HIV Aids, tanggungjawab mesti dilaksanakan

Moga amalan Ustaz mendapat ganjaran besar dari Maha Penyayang dan Pengampun. Moga arwah selamat bersemadi di dunia sana...