Friday, September 26, 2008

RIAK-RIAK MEMORI DI SURAU AL-MUHAJIRIN TY


Saya mula menduduki Taman Yayasan pada tahun 2000 dan mula berjinak dengan Surau Al-Muhajirin dua bulan berikutnya. Ia bermula dengan menjemput jemaah bertahlil di rumah baru yang kami diami. Pada masa itu saya baru berkenal dengan Imam Haji Kadir dan Cikgu Arifin Topandi, Pengerusi Surau. Selain En Azizan Azit – rakan setugas di UiTM – Haji Mohamad Hasan, Pak Wan Kasim, Haji Khalid dan Cikgu Ramlee adalah beberapa nama terawal yang saya kenal. Sesekali kami berbual di tangga surau, yang belumpun ada anjung seperti hari ini. Haji Mohamad, Pak Wan dan Haji Isa antara yang senang diajak bersembang, dan merekapun banyak cerita yang dikongsi.

Saya teruja apabila Cikgu Arifin melantik saya sebagai salah seorang imam, yang ketika itu kelihatan Imam Haji Kadir bersendirian mengemudi jemaah. Haji Alimat sesekali dipelawa mengimami jemaah. En Yahya (belum haji ketika itu) menjadi bilal yang amat lunak suaranya. Bacaan Yasin malam Jumaat begitu meriah kerana ramai anak muda yang membantu menguruskan makanan. En Razak antara orang yang rajin mengemas dan mencuci pinggan mangkuk bersama rakan muda lain. Sementara Pak Wan Kasim insan yang paling rajin menguruskan jamuan.

Rakan-rakan lain di surau ialah Kamarudin yang mahir dalam selok belok elektrik yang kemudiannya berpindah ke Johor Bahru. Saya mula rapat dengan beberapa rakan muda; Shieqal, Ayu, Nami dan nama-nama lain. Kemudian Ustaz Norhamizi menjadi rakan karib terdekat yang kebetulannya orang Perlis. Majlis rewang yang dijayakan telah merapatkan hubungan keakraban dalam kalangan jemaah.

Rakan pendatang ketika itu ramai dari Bangladesh termasuklah saudara Din yang selalu azan. Azannya sedap dan berbeza dengan muazzin lain. Surau Al-Muhajirin sejak awal lagi menjadi surau internasional yang dimakmurkan oleh pelbagai bangsa dan jemaah.

Beberapa majlis yang menggerakkan surau dijalankan seperti sambutan Maulid Rasul dan majlis walimah, termasuk rewang. Pernikahan Imam Haji Kadir dengan Puan Fatimah menjadi titik penting ramainya jemaah melibatkan diri. Keakraban jemaah semakin terserlah. Di sini bermulanya panggilan ‘ayahanda’ saya gunakan kepada Haji Khalid, dan sememangnya dia seorang ayah yang benar-benar memahami ragam kami sebagai anak! Tugas masak memasak telah ada tenaga tersendiri terutamanya En Rahman Mohd dibantu sdr Talib, Samsuri, Samid, Juwahir, Haji Hafiz dan ramai lagi. En Idris Tohiran dan Haji Jaafar Maskor punyai peranan lain tersendiri.

Semasa lawatan YB Gan (ADUN Jementah) saya suarakan keperluan kami di Taman Yayasan untuk mendapatkan sebuah masjid bagi memudahkan solat Jumaat. Perkara ini rupanya dibawa ke Mesyuarat Daerah dan mendapat restu daripada Pejabat Agama.

Apabila Cikgu Ramlee mengambil alih Pengerusi, beberapa perubahan dijalankan. Anjung surau ditambah, tandas tambahan dibina dan yang penting sekali ialah kebenaran mendirikan solat Jumaat bermula 8 Februari 2002. Imam Hadzri dan bilal Samsuri adalah orang kuat yang mengisi ruang jemaah selain bilal Pak Sani (Abdullah Sani). Kepimpinan Cikgu Ramlee terserlah dan memberi kesan baik kepada surau dan jemaah.

En Ghani Rahmat adalah galang ganti yang tiada tolok bandingnya. Jika sebelumnya sumbangan beliau terbatas pada majlis Maulid bagi menyelenggara PA System, namun penglibatan langsungnya berserta keluarga; Puan Hasnah, Hazlami dan Hazwani melonjakkan keceriaan surau. Saban Jumaat, dialah yang membersihkan surau, menyelenggarakan alatan dan pelbagai aktiviti lain. Sumbangannya tiada ternilai dan Allah berikan yang terbaik kepada kita. Hadi adalah seorang lagi orang asing (Indon) yang banyak mencorakkan sejarah tersendiri, bukan sekadar bilal malah mengecat dan kerja-kerja lain yang upaya dilakukannya.

Kesudian Tuan Haji Hasan menjadi noja juga suatu yang bermakna kepada surau kita. Hasil kerja kuat Haji Hasan, kebersihan dan keceriaan surau kekal terpelihara. Jemaah datang dan pergi. Ternyata mereka semua memeriahkan surau kita. Cikgu Yusuf Embut, Tn Haji Toha, Cikgu Zul, Wak Redza adalah mereka yang senang bercerita, ada pula aktif dengan tugasnya seperti En Zainal, Rizal, En Dasli, Cikgu Mohd Nizar, Nazri (Bob), dan ramai lagi. Ada pula jemaah yang memberi komitmen pada keberadaan solat jemaah seperti En Salim, Kamal Najmi, Haji Hasan (2 orang), En Hasan, Hj Jaafar (3 orang), Cikgu Shikin dan ramai lagi.

Banyak dugaan dalam pengurusan sebuah surau. Ada ketikanya orang tertentu merajuk, kakitangan yang tidak aktif, perselisihan faham, kesuntukan waktu antara urusan rasmi (kerjaya) dan urusan surau dan masalah lain. Namun aktiviti surau terus dijana. Antara yang utama ialah yasin pada setiap malam Jumaat, Maulid Rasul, imarah Ramadan, tadarus, khatam al-Quran, tadarus rakan muda, penerbitan Suara Al-Muhajirin (sudah masuk tahun ke 7), ibadah kurban, marhaban dan ziarah Syawal, pengurusan jenazah, rewang kendarat dan sebagainya. Pencapaian kita mendapat pengiktirafan dengan dinobatkan sebagai Johan Surau Terbaik Negeri Johor 2006 (dalam Majlis Maal Hijrah 20 Januari 2007).

Perjalanan surau ini tiada noktahnya. Ia memerlukan tenaga dan pengorbanan kalian jamaah pada keadaan yang termampu untuk dibantu.

*Penulis memohon maaf atas nama yang tidak tepat, atau tidak tersenarai kerana terlalu ramai mereka yang mengimarahkan surau kita baik dari kaum ibu, kanak-kanak mahupun dewasa. Artikel ini sekadar menggambarkan bertapa putaran hidup yang silih berganti Allah tentukan kepada kita di surau ini sebagaimana firman-Nya bermaksud; “Inilah harinya Allah galang gantikan dalam kalangan manusia” (Ali Imran:140)

Pada kesempatan ini, penulis mengambil kesempatan memmohon ribuan ampun dan maaf atas kesilapan dan kesalahan selama kita bergaul mahupun lewat Suara Al-Muhajirin yang saya kendalikan. Selamat hari raya aidil fitri kepada semua.

2 comments:

Anonymous said...

Salam ustaz,
Rajin update semenjak dua menjak ni..
Bila nak balik kg kat Kedah? Apapun tahniah kepada ustaz atas sumbangan kepada masyarakat sekitar...

Anonymous said...

Assalamualaikum Ustaz,

Saya Sofian, dalam post ustaz ada menyebut tentang Ustaz Alimat.

Adakah beliau bekas cikgu di sekolah menengah segamat.

Jika betul, usianya dalam >70 tahun.

Boleh tak ustaz kongsikan atau tanyakan nombor telefon beliau.

Saya menantu kepada kawan beliau yang lost contact dengan beliau.
Nama kawan beliau ialah ustaz muhammad, orang kelantan.

email atau send no dia ke sofian.ghani@gmail.com/0132103040.

Terima Kasih.
Sofian