Thursday, October 30, 2008

KENDURI RUMAH EN GHANI

19 Oktober 2008 hari kenduri di rumah En. Ghani. Jam 9 pagi majlis akad nikah dijalankan di surau al-Muhajirin menyatukan Nurul Hasni Abd Ghani dan pasangannya Reza. Tugas saya sentiasa sama; menjadi pengerusi majlis akad nikah dan yang paling shahdu (tersentuh) apabila si emak menasihati anaknya.. ’engkau akan berpindah ke alam baru yang tidak pasti bagaimana bentuknya... maafkan segala kekurangan emak sepanjang mendidikmu.’

Sejak awal lagi, En Ghani memberikan tugas sebagai DJ kepada saya. Mulanya agak gementar kerana bersama saya En Salleh (abang En Ghani) yang dahulunya pernah menjadi DJ. Lebih mengharukan apabila En Ghani membelikan set baru speaker dan alatan lain (yang saya tidak reti apa faedahnya) bagi meningkatkan mutu bunyi. Setelah berkenal mesra, saya kira tidak ada masalah bekerjasama dengan En Salleh menjalankan tugas ini. Maaf kerana akhirnya saya bersendirian mengendalikan konti DJ.

DJ RTM Johor, Puan Ramlah Roslan turut hadir dan kesempatan ini membolehkan saya berkenal mesra dengan orang RTM dan rakan baru seumpama ini tidak mudah dicari di mana-mana tetapi Allah temukan kami pada majlis walimah. Pepatah Arab ada mengatakan; ’kadang kala pertemuan yang tidak sengaja itu lebih baik daripada seribu janji’.

Majlis berjalan lancar. Pengantin disambut paluan kompang remaja Taman Yayasan dan pancak silat sendeng anak-anak. Tetamu yang datang juga nampak ramai dan anggota rewang bersungguh-sungguh menjalankan tugas. Menyatakan keterharuannya, En Ghani mendendangkan sebuah irama ghazal dengan iringan piano.

Orang mengail di tengah laut
Dapat seekor ikan senangin
Segengam garam ku campak ke laut
Tak mungkin ia bertambah masin

Kelip-kelip kapal di laut
Sampan kolek mudik ke tanjung
Hati terkenang mulut menyebut
Budimu tuan tetap kujunjung (20 Okt 2008)

Nampaknya Cikgu Yusof Embut tidak tertahan dengan godaan dan dia melepaskan geramnya berkaraoke sebuah lagu. Tahniah kepada En Ghani dan Puan Hasnah, sekalung penghargaan kepada semua yang terlibat.

Pulang ke rumah jam 5.30 petang...

No comments: