Monday, November 10, 2008

ISYAK MALAM INI JADI KE TIDAK?

”Dia orang ini mogok ke? Dia orang tak sembahyang Isyak ke malam ni?” Begitulah lontaran pertama Cikgu Yusof apabila melihat surau Al-Muhajirin sepi tiada pengunjung.

”Sedangkan lampu terang benderang. Motor ada. Orangnya tiada...”

Masalahnya ialah imampun tiada, bilal pun sama. Siapa yang nak azan ni?

En Dasli dan Cikgu Yusof saling berpandangan. Risau. Rimas dan masing-masing tunjuk ke awak, awak tunjuk ke saya untuk melaungkan azan. Nasib baik muncul Haji Md Sudi yang mengimamkan solat Isyak. Lega rasanya...

Itulah yang menariknya apabila imam dan bilal tiada. Orang yang biasa berjemaahpun tidak muncul, risaunya bukan kepalang. Sebenarnya jemaah pada ketika itu dijemput ke majlis marhaban di kedai komputer baru En Anuar selepas solat Maghrib. Tiba-tiba hujan lebat dan kami mengambil keputusan untuk solat Isyak di kedai berkenaan.

Lalu cerita lucu ini menjadi buah mulut kami beberapa minggu lamanya. Nampak gaya semua jemaah kena bersedia untuk menjadi imam, paling tidakpun menjadi bilal; bilal bidan terjun. Cikgu Yusof dan En Dasli dah bersedia ke?

No comments: