Tuesday, November 25, 2008

ZIARAH TOK SIDANG

Balik kampung kali ini saya berkesempatan menziarahi Tok Sidang Haji Husni (Sidang Sungai Nibong, Parit 12 Sekinchan). Tulang belakangnya reput dan terbaring di atas kalit sejak empat bulan lalu. Selama menjadi Sidang, dia seorang yang baik dan rajin membantu anak buah (orang kampung), malah semasa perkahwinan saya (16 tahun lalu) dia turut pergi ke Kuala Nerang dalam rombongan pengantin.

Sentiasa berjemaah di Masjid Al-Siraj Sungai Nibung dan kerap kali bertemu, saya akan menyalaminya. Cumanya, mungkin kerana itulah sikap dan peribadinya, dia kelihatan seakan sombong dan jarang menghulurkan senyum. Pernah juga berselisih faham dengan bapa mertua saya, tetapi itu masalah kecil yang telahpun dijernihkan.

Menziarahinya terbaring di atas katil, merakamkan simpati dan terharu. Dia pemimpin kampung yang tentunya terlalu banyak jasa dan sumbangan yang tidak ternilai untuk dibalas. Tentunya banyak sumbangan langsung dan tidak langsung menjadi jasa yang sukar untuk dihitung. Saya bersalaman dan mencium pipinya, menghulurkan sedikit sumbangan dan menggengam erat tangannya; “Sabarlah Pak Haji.. Ujian Allah kepada kita, semoga Allah cepat sembuhkan…” Dia menggemgam erat tanganku dan air mata menitis di pipinya.

“Ya Allah, sembuhkanlah dia.. Dia kekasih-Mu yang banyak berjasa kepada kami..” 22 Nov 08

No comments: