Thursday, April 2, 2009

NASIHAT SEORANG 'TOK'

Perjalanan jauh tentunya penat dan ada kalanya bosan. Namun bertemankan Sdr Nazri, pemandu kami (UiTM), tidaklah terjadi seperti itu. Pemanduannya yang lancar, bertemankan radio Sinar FM, menjadikan himbauan nostalgia dan angan-angan tersusun rapi sepanjang perjalanan.

Dalam perjalanan pulang, kami sempat singgah sebentar di rumah Ust Adi menghirup secawan milo dan kuih muih. Bapanya, En Ridwan begitu mesra melayan kami dan saya sempat berbual pendek dengan nenek (tok) yang juga orang Kedah. Bertemu orang tua adalah kepuasan kepada saya, siapapun orang tua, walaupun pertama kali bertemu, Insya-Allah akan ada sentuhan yang menjalinkan rasa kasih mendalam menatap garisan kedut seribu di wajahnya.

Dan si Tok tadi sempat menasihati saya; ’Hang duduk elok-elok, jangan gaduh-gaduh.. jaga dia (isteri saya, maksudnya) sampai bila-bila...’

Memang kalau orang tua itu, tetap sifatnya orang tua juga. Nasihat dan titipan kasihnya melangkaui titisan darah dan talian persaudaraan. Pada akhir perbualan (5 minit je) saya memohon doa restu daripadanya, kerana saya yakin amat bahawa Tok seperti dia tiada perkara yang lebih banyak dibuat selain amal doa yang berpanjangan... Semoga Tok bahagia dan sejahtera..

No comments: