Monday, July 13, 2009

SABTU 11 JULAI 2009

Sabtu (11 Julai), anak-anak semuanya bersekolah dan saya kena menjaga si Ibrahim yang tidak bersekolah. Seusai bersarapan, kami bergotong royong di Sekolah Agama Buloh Kasap, membersihkan itu ini dan mengecat itu ini. Biarpun tidak ramai ibu bapa yang hadir, kerjasama guru-guru dan murid telah menjayakan program pagi ini. Selaku Pengerusi Badan PIBG, keberadaan kita amat penting biarpun tidak banyak yang dapat dibantu.

Jam 10.30 bergegas ke UiTM kerana ingin melihat dan meraikan tetamu yang menyertai Ceramah Intelektual yang disampaikan oleh Prof Dr Muhd Kamil hari ini khusus kepada pelajar sekolah Tingkatan 4 dan 5. Sambutan memeriahkan dan memenuhi dewan LT1 dan LT2. Sentuhan Prof kali ini terasa menyengat dan menyentuh peserta yang hadir. Saya gembira dapat meraikan anak-anak pelajar yang sudi hadir dan tentunya lebih teruja melihat wajah putera puteri Sek Men Agama Kluang dipimpin Ust Atiqah.

Zaim dan Atifi bertalu-talu menelefon dari sekolah, maaf kerana terlewat menjemput mereka yang sepatutnya diambil jam 12.30, hanya jam 1.30 baru saya tiba di sekolahnya.

Terus kami ke SMK Seri Kenangan meraikan Hari Terbuka Asrama yang dilangsungkan hari ini hingga ke malam. Shida menguruskan jualan gerai dan kami berkesempatan melihat asrama putera dan puteri, khasnya bilik Ain Hanani. Asrama puteri ternyata lebih indah dan kemas dihias!

Pulang ke rumah jam 3 petang.

Ada seorang rakan saya bertanya; Ustaz kerja ke hari ini? Saya katakan, tidak, tapi kena datang sekejab ke ofis, ada program. Pada saya, apa-apa program universiti yang melibatkan orang luar, seharusnya sebagai staf, kita perlu hadir. Biarlah kita bukannya AJK, tetapi sebagai tuan rumah, tiada salahnya kita mengembirakan tetamu yang hadir. Rasululah mengingatkan kita; "Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya."

Pada malamnya kami menghadiri kenduri tahlil di dua buah rumah; pertama di rumah Tn Haji Jaafar Arsyad bercukur jambul cucunya dengan diiringi Selawat; dan kedua di rumah En Abdul Ghani Rahmat, juga rakan akrab setaman. En Ghani mengadakan majlis 'Lenggang Perut' kalau ikut tradisi orang dulu, tapi pendekatannya kali ini jauh lebih baik. Kumpulan Wanita yang datang lebih awal membaca surah Maryam manakala kumpulan lelaki yang datang selepas Isyak membaca surah Yusuf. Satu perubahan yang amat baik untuk diikuti. Semoga Nurul mendapat anak yang soleh berbakti kepada agama dan negara, sehebat atuknya!

No comments: