Friday, August 14, 2009

USTAZ ASRI RABBANI

Ketika saya sibuk menyusun maklumat mengenai H1N1, terbaca email mengenai pemergian Ustaz Asri penyanyi nasyid tersohor tanah air khasnya, Rabbani. Innalillah..

Lama kita kenal Asri, sejak dia bersama al-Arqam melalui kumpulan nasyid Nada Murni, terlalu banyak lagu dan nasyid yang dinyanyikannya yang kita hafal, kita ingat betul-betul. Semasa persembahan livenya di UKM (1986 +) kami amat teruja dengan penampilannya yang bersahaja dan menghidupkan dewan dengan baik sekali. Malah tidak dinafikan kumpulan inilah menjadi perintis kepada penyerlahan nasyid dalam bentuk baru (kontemporari) dan menempatkan nasyid pada persada dunia.

Melalui kumpulan Nada Murni, muncullah Raihan dan Rabbani yang berjaya memartabatkan dakwah lewat hiburan. Antara lagu lama yang menyentuh; Di Pondok Kecil, Ibu Mithali, Selawat, dan banyak lagi. Saya pernah menggunakan lagu Ibu Mithali untuk sesi ceramah/bimbingan kepada pelatih di Seri Puteri Kota Kinabalu dan ternyata kelunakan suara Ustaz Asri dan kelembutan sentuhannya mengusik rasa pelatih berkenaan. Ramai yang menangis keinsafan.

Rabbani pula membawa pelbagai irama seperti rap, rock, blues dan R n B dan ternyata ia mendekatkan nasyid kepada sasaran remaja. Perhatikan lagu Intifadah, Pergi tak kembali adalah irama luar biasa untuk sesebuah nasyid. Alhamdulillah kemunculan Rabbani merubah wajah pada elemen hiburan Islam.

Pemergiannya semalam adalah kehilangan besar kepada industri nasyid tanah air, kehilangan seorang tokoh seni terbilang, kehilangan pendakwah pentas yang mampu menyedarkan pendengar akan kebesaran Tuhan.

Semoga Allah tempatkan beliau bersama anbia dan syuhada.

We love you forever.

No comments: