Friday, May 14, 2010

SELAMAT HARI GURU

Dalam kelas-kelas saya, biasanya pada penghujung semester selalu saya ingatkan pelajar supaya menjaga empat perkara;
1. Hubungan dengan Allah
2. Hubungan dengan ibu bapa
3. Hubungan dengan guru
4. Hubungan dengan rakan sahabat.

Mengenai guru, kita miliki terlalu ramai guru yang berbakti kepada kita. Dari tadika, sekolah rendah, menengah hinggalah ke universiti; semuanya adalah guru. Guru tidak meminta suatu apapun daripada muridnya. Bagi guru, cukuplah kejayaan anak-anak membahagiakan mereka. Cumanya, mereka akan terasa lebih bertuah kiranya anak murid tahu menghargai guru. Paling tidak ucapkanlah salam, tegurlah mereka ketika bertemu dan dalam teknologi capaian mudah masa kini mungkin fb, sms, email dan apa sahaja boleh kita hubungi guru.

Saya amat terkilan kerana kehilangan guru-guru yang berbakti kepada diri. Nama mereka juga hampir terlupa, inikan pula kisah khabarnya. Hanya termampu saya mendoakan semoga semua guru (yang formal mahupun yang tidak formal) yang mengajar dan membimbing saya agar diampunkan Allah, diberkati amalan mereka. Andainya mereka telah kembali ke rahmatullah, Kau luaskanlah kubur mereka. Jadikanlah titisan ilmu yang mereka curahkan kepadaku selama ini, sehingga aku boleh hidup seperti ini sebagai amal jariah mereka berkekalan. Tidak terkurang walau sedikitpun. Amin.

Perhatikan bait-bait puitis Usman Awang dalam sajak 'Guru':

Guru oh Guru

Berburu ke padang datar,
Dapat rusa belang kaki;
Berguru kepalang ajar,
Ibarat bunga kembang tak jadi.

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum menjadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetlaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di lbu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakill seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

Usman Awang
1979

No comments: