Thursday, August 11, 2011

TARAWIH DI MASJID

Menghayati solat tarawih sebagai ibadah bergantung sepenuhnya kepada imam yang membawa. Imam punyai keupayaan dan variasi tersendiri. Saya suka semua imam yang bacaannya betul dan jelas.

Jemaah ada yang merungut apabila imam terlalu laju atau terlalu lambat. Apabila terlalu laju, tidak terkejar pula jemaah. Apabila terlalu perlahan, jemaah jadi jemu dan mengantuk. Bayangkan semasa bacaan al-Fatihah pun jemaah tertidur...

Selalunya saya mengimamkan solat di surau kami di Taman Yayasan dengan lima orang imam bergilir. Imam 1 sudah tidak dapat lagi mengimamkan kami kerana keuzuran, tinggallah 4 orang berganti-ganti. Seronok dapat mendengar berbagai gaya bacaan imam yang ada.

Dua malam lalu saya ke surau SMK Seri Kenangan mengimamkan tarawih. Biasanya murid sekolah akan bising dan bercakap-cakap sementara imam membaca al-fatihah atau surah yang agak panjang. Apabila mereka tahu kelaku imam ini, suasana jadi terkawal dan segera mereka menyertai jemaah solat.

Malam tadi saya berpeluang mengimamkan tarawih di Masjid UiTM. En Ros Hasri kata paling cepat habis di sini... Alamak...

Saya tidak terkata. Tapi inilah cara saya solat. Solat biarlah dalam keadaan yang tenang, relaks dan tidak memberi tekanan kepada jemaah. Apa yang penting ialah bacaannya betul, bertajwid dan sempurna tomakninahnya. Bacaan tidak perlu terlalu panjang kerana maklumlah kita memahami hakikat jemaah di sini...banyak urusan dunia yang tidak pernah beres, tidak pernah habis. Urusan dunia itu pun juga adalah ibadah kita yang bakal dibawa menemui Tuhan Rabbul Jalil.

Apabila jemaah seronok dan tenang dengan solat kita, tentunya mereka akan lebih tertarik dan suka beribadah. Tapi kalau ibadah sudah jadi beban, sukar juga hendak memujuk mereka datang berjemaah.

Jemaah perlu dibimbing, dilatih. Begitu juga solat dan ibadah, ia perlu dilatih dan dibimbing. Jika tidak pernah bersolat malam, memang sukar hendak bangun dan solat, tapi bagi yang sudah biasa bertahajud, ia tidak menjadi halangan lagi.

Sebagai imam, kita berusaha untuk mempersembahkan yang terbaik ibadah solat kepada Allah dan kepada jemaah jua. Semoga Allah menerima ibadah kita, kekurangan dan kealpaan kita ditampung-Nya jua.

3 comments:

Anonymous said...

lebih rasa mahu ke masjid selepas membaca semua ini.. hehehe.. =)

embunpagi said...

Pendekatan yang PM ambil lebih menarik minat orang ramai berbanding pendekatan yang lain. hihi. Ustaz memang best

Ahmad Nawawi Yaakob said...

Subhanallah.. setiap orang ada caranya tersendiri. Hanya yang kita harap ialah redha Allah jua. Jom kita ke masjid..