Tuesday, April 17, 2012

BAS, BASIKAL DAN JALAN KAKI


Berjalan kaki menjadi kebiasaan kepada kami. Setakat 4 – 5 KM itu perkara biasa (ukuran batu yang digunakan ketika itu). Kami berjalan kaki dari Pondok ke Padang Gelanggang, Kampung Tanjung, Kampung Pisang, Sungai Sari, Lubuk Labi, Kampung Taban. Ke Kedai Hasan, kedai Wahab, kedai Pak Yeh, kedai Pak Tam, kedai Dahaman; memang kami berjalan kaki, termasuklah ke sekolah.

Pernah juga kami ke Bendang Raja (rumah Mak Cik Yah) berjalan kaki. Kami naik bas hingga ke Kuala Nerang, dari Kuala Nerang ke Bendang Raja tiada lagi kenderaan, lalu kami berjalan kaki. Yong, Makcik Melah dan kami (Mad Chi dan saya) tidak kisah dengan perjalanan seperti ini. Kebetulan ada kereta Morris Minor yang menumpangkan kami setelah separuh perjalanan kami lalui. Setelah habis kenduri tahlil malam itu, kami menumpang tidur dan pulang keesokan harinya.

Dalam masyarakat tradisi, kita tidak kisah menumpang tidur di rumah saudara mara. Tiada apa yang tidak kena. Sayangnya ia menjadi semacam janggal pada masa kini. Kita yang meletaknya sebegitu.
Orang lelaki dewasa kebiasaannya memiliki gerek (basikal). Basikal besar, basikal tua. Ayah mengayuh basikal tuanya setiap hari kerana itulah kenderaan terbaik yang kami punyai. Basikal ayah, milik ayah. Jarang kami menggunanya. Basikal kami, basikal kami yang kami main. Basikal yang kami main biasanya bersaiz sederhana – sedang-  lebih kecil daripada basikal besar.

Saya kerap menemani Ayah berkenduri dan solat mayat membonceng belakang basikal besarnya. Kena jadi baik, kena ikut Ayah bertahlil, baca qulhu, marhaban dan berzanji di merata kampung kerana itulah tugas Ayah sebagai seorang imam.

Ketika Darjah Tiga, Ayah berikan basikal kecil (bersaiz kecil, bentuknya sama seperti basikal besar, basikal tua) kepada saya. Lama juga saya cuba menatih basikal kecil, jatuh dan bangun, luka dan darah. Saya belajar naik di celah (naik celah) dahulu sebelum benar-benar mahir baharulah naik di atas dan duduk di tempat duduk basikal. Semasa naik di celah, pernah saya terjatuh dan lengan saya tersadung dawai kawat pagar dan berdarah beberapa ketika. Itu perkara kecil untuk diberitahu kepada sesiapapun!

Bas RIDA (bas MARA) menjadi pengangkutan awam yang utama. Prevek sapu dan teksi memang ada, tetapi tidak banyak. Paksu Man selalu menjadi prevek sapu pada laluan Padang Sanai ke Kuala Nerang dengan berbagai jenis kereta miliknya. Terutamanya hari Selasa dan Sabtu, ada Pekan Nat di Konerang. Kami naik bas ke Pekan Kuala Nerang (Konerang). Ada kalanya emak membawa getah sekerap untuk dijual di kedai apek di tepi sungai Kuala Nerang. Kami tidak kisah. Ada yang membawa ayam hidup dan pisang di atas bas. Kami tidak kisah. Itukan kehidupan kami.  Pernah emak tertinggal ikan yang dibeli di Kuala Nerang, terpaksalah kami tunggu bas berkenaan turun semula dari arah Padang Sanai untuk mengambil ikan. Ikannya tidak hilang. Itulah satu-satunya bas yang kami naiki di laluan Padang Sanai – Kuala Nerang. Tiada yang lain.

Saya rakamkan penghargaan terima kasih kepada Pak Teh Drebar, yang terlalu lama membawa bas; dia kenal kami dan kami kenal dia ibarat sebuah keluarga yang saling bergantungan. 

No comments: