Friday, December 23, 2016

SELIPAR BURUK - KENANGAN DENGAN AYAH

Suatu ketika aku tinggal berdua dengan Kak Aisyah di tepi rumah Mak Lang. Kami tinggal berdua dalam sebuah rumah yang menguruskan makan minum sendiri, menguruskan persekolahan sendiri, menguruskan tumbuk padi dan mencari kayu api sendiri. Ia tidak lama, tetapi ia sudah cukup untuk kami tahu apa yang kami lalui.

Aku pernah demam yang agak lama ketika tinggal dengan Kak Aisyah. Kakak Aisyah dalam Tingkatan Satu dan aku Darjah Empat. Cikgu sekolah datang melawat ketika aku menghadapi demam yang lama tidak bersekolah.

Mak Lang Nah dan Mak Ngah Timah pernah memandikan aku pada tengah malam dengan air bakaran tempurung kelapa bagi menyembuhkan demam. Aku ikut sahaja apa yang mereka lakukan, kerana itulah ikhtiar yang aku suka. Aku tidak suka ubat, aku tidak suka doktor. Pahit.

Tinggal berdua pada usia pra matang, adalah pengalaman yang sukar. Menanak nasi dengan kayu api yang kami cari dari pagar kebun orang sahaja, dengan ikan tamban dipanggang dan dibakar yang masak bersama api nasi itu juga. Itulah lauk kami. Paling kami suka makan pucuk keledek direbus dan makan dengan air asam. Itulah lauk kami. Sesekali juga kami makan ulam daun kesum direbus sebagai makanan kami. Itulah rezeki kami.

Tali pancing (tahan taut) tidak pernah lekang daripada kehidupan kami, kerana itulah sumber makanan lauk yang kami makan. Ikan keli atau haruan, sepat dan puyu tidaklah menjadi perkiraan asal sahaja ia boleh dimakan.

Kami pernah kehabisan beras dan kami membeli biskut kering 20 sen dan kami makan bersama sebagai makan tengah hari dan malam. Maaf, kami tidak berupaya untuk meminta daripada ayah atau Mak Lang di sebelah rumah. Kami tidak cerdik untuk meminta itu dan ini.

Selipar yang aku pakai, asalkan sahaja ia boleh dinamakan selipar. Biarpun telah putus, aku sambung dan ikat dengan tali rafia. Sudah putus sebelah, aku repair lagi. Ikat dengan dawai halus tahan lebih lama. Sehinggakan kelihatan dawai yang lebih banyak bersirat pada seliparku. Aku pakai juga kerana itulah selipar yang aku ada.

Maafkan aku Ayah, kerana aku tidak pandai meminta daripada Ayah untuk membelikan itu dan ini. Aku tidak pandai sebenarnya.

Sehinggalah suatu hari, aku tidak tahu dari mana datangnya keberanian itu, lalu aku bertemu ayah di pintu pagar surau dan meminta selipar baru.

"Ayah, Mad E nak kasut baru..." (Kasut adalah selipar bagi kami)

Ayah memandang tepat ke kakiku. Melihat selipar burukku bersirat dengan dawai.

Segera Ayah memalingkan mukanya ke belakang. Aku kira Ayah menangis melihat keadaanku ketika itu. Aku perasan Ayah menitiskan air matanya. Maafkan aku Ayah, anakmu ini tidak pandai, sebenarnya.



No comments: