Sunday, January 1, 2017

AYAH SOLAT LAMBAT - KENANGAN BERSAMA AYAH

Ayah seorang imam bertauliah di Masjid Padang Gelanggang. Dia juga imam di Balaisah (surau) kami di Pondok Padang Nyior. Imam di balaisah kami biasanya Ayah yang selalu naik. Pak Teh agak sibuk dengan urusan sekolah dan keluar ke sana sini atas urusan agamanya. Ayah lebih kerap mengimamkan kami di balaisah.

Solat ayah perlahan dan lebih tomakninahnya. Apabila Ayah jadi imam, kami tahu bacaannya agak lambat dan perlahan, gerakannya juga perlahan. Tapi kami tahu, dialah imam kami yang terbaik, yang doanya kami aminkan setiap waktu. Zikir ayah juga perlahan dan lengkap. Mungkin Pak Teh ada caranya tersendiri, ayah juga ada caranya tersendiri. Daripada pemerhatian sedalam ini, kita memahami watak dan pribadi Ayah dan Pak Teh. Insan hebat berbakti kepada ummah di tempat kami.

Aku kenal benar pada setiap kali Ayah baca tahiyat, pasti dia akan ulang 2 - 3 kita sebutan 'ATTAHIYA, ATTAHIYYA, ATTAHIYAA.. sehingga dia yakin dan meneruskan bacaan tahiyat ke akhirnya. Selaku jemaah kecil seperti aku, aku sering berkomen, kenapa ayah perlu berulang-ulang menyebutnya berulang kali. Cukuplah sekali kerana aku segera mahu memberi salam dan tamatkan solatku.

Perulangan ATTAHIYA itulah yang memerangkap diriku bertaut jiwa kasih dan ingatan kepada seorang insan yang kupanggil AYAH.

No comments: