Tuesday, January 7, 2020

AKU MELIHAT PADA UMURKU 55 - LETRIK DAN AIR

Eletrik masuk ke rumah kami pada tahun 1978, ketika kami berada di Tingkatan Satu, Maktab Mahmud. Ia menjadi agenda politik yang panjang. Pada kempen pilihanraya, isu ini menjadi sandaran utama pihak kerajaan mahupun pembangkang. Ada kampung tertentu dipasangkan tiang begitu lama tanpa ada kabel untuk pembekalan elektrik. Janji politik sukar hendak ditunai. Ia tidak semudah ABC.

Di rumah, kami pasang tiga lampu kalimantang, satu di ruang ibu, satu di ruang bilik tidur dan satu di ruang dapur. Satu lagi mentol bulat di ruang depan tangga rumah. Itupun jarang amat kami pasang kerana takutkan bilnya tinggi. Pasang apa yang perlu sahaja.

Orang-orang berada mulalah membeli TV dan peti ais. Rumah Pak Hasan Kedai antara rumah pertama ada peti TV dan menjadi tumpuan kami pada setiap malam Sabtu untuk tayangan filem menarik. Seminggu sekali sahaja.

Batang paip air mula masuk sekitar tahun 80an sebegitu. Kerajaan wenangkan air paip sebagai air bersih, air terawat. Kami yang biasa minum air telaga, sihat walafiat tidaklah perlu pula dirawat air telaga itu. Untuk minum harian pun, tidaklah kami masak air telaga itu untuk diminum, diminum mentah-mentah gitu sahaja. Kenduri kendara pun sama, tidaklah kami perlu masak air telaga. Cukup dimasukkan sarbat dan air gula, jadilah ia air minuman yang paling enak kami rasa.

Datangnya air paip menyebabkan telaga kami menjadi usang. Kejernihan air telaga bertemankan lumut-lumut dan anak-anak ikan ditinggalkan oleh masa. Telaga akhirnya dikambus dan tiada berbekas lagi untuk kami tunjukkan kepada generasi Z.