Allah berikan hanya seorang ibu dan seorang bapa kepada kita. Biar apapun dia, bagaimanapun keadaannya, hanya mereka yang selayaknya dipanggil ibu dan bapa. Hanya setelah berkahwin adalah pula tambahan seorang ibu dan seorang bapa (atau lebih, he he)..
Jasa ibu bapa tiada penghujungnya. Bukan sekadar 'tanggungjawab' sahaja mereka membesarkan kita, malah lebih dari itu, pada kasih sayang, pengorbanan, ketulusan, kesungguhan dan tiada noktah untuk mereka memikirkan bagaimana keadaan kita sejak lahir hinggalah ke hari ini..
Allah meminjamkan kepada saya seorang ibu yang baik, yang cantik, berambut panjang, berkulit cerah, dalam tempoh enam tahun sahaja. Tempoh masa itulah; saya memanggilnya 'mak' dan dia menjawab 'ya'. Pada tanggal 11 Februari 1972 dia kembali menemui Tuhannya, sedangkan saya belum pun menghadapi peperiksaan penggal 1 di Darjah Satu.
Sebelumnya, saya selalu memanjat belakang emak dan bergurau senda. Katanya; 'Kalau mak mati, kamu hendak tinggal dengan siapa?' Pada usia sekecil saya, saya menjawab; 'Tinggal dengan makcik.' Dan itulah ketentuan Allah.. Saya tinggal dengan Mak Cik dengan asam garam kehidupan yang sukar diduga.
Kepada mereka yang masih punyai ibu, punyai bapa, ruangkanlah sedikit masa untuk menatap kedut-kedut tua yang terlukis pada wajah mereka. Ruangkanlah sedikit usaha untuk menyelami khabar berita mereka sebelum mereka kaku dibaluti kapan, sebelum mereka tergalang oleh timbunan tanah yang memisahkan kita selamanya.
Selamat hari ibu.
2 comments:
sedihnyer..
kecil lagi dah tak dapat kasih sayang seorang mak..tu semua takdir tuhan..
Anak Derhaka
Sungguh lah azab ibu mengandung
Hari berjalan bulan di hitung
Ibu berserah, rugi dan untung
kepada Allah meminta tolong
Sembilan bulan, sepuluh hari
Azab sengsara ibu tanggungi
Ibu berdoa, pada Ilahi
Agar lah anak Allah berkati
Di bantal tinggi, ibu bersandar
Ibu mengucap Allahuakbar
mukanya pucat, terketar
dunia di pandang bagai di putar
Cukuplah bulan serta harinya
seorang putera di dilahirkannya
bidan menyambut dengan halusnya
sampai si ibu tak tahan rasanya
Mendidik anak yang di lahir kan
susah dan senang dia korbankan
makan dan pakai dia sediakan
akhirnya ibu dia lupakan
sekarang anak telah beristeri
ibu dibuat seperti abdi
makan dan minum di suruh saji
kain dan baju di suruh cuci
Ibu yang malang berdukacita
duduk berendam si air lah mata
akhirnya ibu menutup mata
atas perbuatan anak derhaka
Lagu tradisional: M. Daud Kilau.
Seperkara lagi Ustaz, bermula dari kita di lahir, ibu lah yang menyuapkan makan ke mulut kita, mencuci najis di dubur kita, memandikan kita, menyikatkan rambut kita dan memakai kan baju kita. Ketika kita sakit, dia pun sakit sama. Sama - sama tidak tidur. Berapa kerat dari kita yang berpeluang melakukan seperti itu kepada ibu bapa kita walaupun sekali dalam kehidupan kita. Sekarang, saya menagih kasih sayang dari ibu mertua dan ibubapa orang lain.
Ya Allah, Kau lapang kan lah kubur ibu bapa aku sebagaimana taman - taman dari syurga dan janganlah kau sempit kan kubur nya sebagai lubang - lubang dari api neraka. Ya Allah, Kau berilah rahmat Mu ke atas roh roh mereka di tempatkan lah mereka bersama sama dengan tabii yang lain. Amin.
Post a Comment