Wednesday, November 3, 2010

BANJIR PADANG TERAP 2010

Padang Terap adalah daerah termiskin -antara termiskin- di Kedah dan di Malaysia amnya. Kebanyakannnya petani tradisional dan sebahagian kecil bekerja di kilang dan kakitangan awam. Daerah utara bersempadanan Thailand khasnya melalui pintu masuk Durian Burung; yang masih dalam projek pembukaan persempadanannya. Di sinilah tempat saya mula mengenal bulan dan matahari.

Padang Terap jarang terkena banjir, jika adapun sekadar terputus hubungan ke Kuala Nerang. Itupun jarang berlaku. Tapi kali ini banjirnya begitu teruk sekali. Bukan hanya sungai yang melimpahkan bahnya, malah sawah padi (bendang) yang menjadi laluan air hingga menenggelamkan beberapa kawasan.

Hujan lebat beberapa hari menyaksikan sejarah baru terlakar di Padang Terap. Antara kawasan terlibat; padang Terap KIri, Kampung Tanjung, Kg Labi, Padang Sanai, Padang Nyior; dan dikhabarkan ada yang rumahnya tenggelam hingga ke bumbung rumah. Subhanallah.

Maka ramailah yang menjadi mangsa terutamanya di tepi bendang; kerana mereka tidak terduga sama sekali tragedi pahit ini akan berlaku. Rumah habis dimasuki air, alatan perabut, karpet, buku dan berbagai alatan lain rosak.

Hampir saya tidak percaya, abang Sanusi tidak dapat menziarahi arwah Kak Nab sedangkan hanya 3 kilometer sahaja dari rumahnya di Pondok. Semua jalan terputus. Bendang bertukar menjadi sungai bah, menenggelamkan rumah dan hasilan padinya musnah. Sekolah ditutup dua hari dan menjadi pusat penempatan mangsa banjir.

Ajaib. Inilah peristiwa banjir terburuk yang pertama kali berlaku di Padang Terap. Kehendak Tuhan siapa yang tahu.

Terkenang saya akan tragedi banjir Segamat 2006 yang menjadi sejarah hitam buat warga Segamat. Menakutkan.

(Ada pihak tertentu yang berusaha mengumpul dana bagi membantu mangsa banjir, anda boleh layari beberapa laman web 'banjir Padang Terap' untuk menghulurkan bantuan).

No comments: