Monday, April 25, 2011

IBADAH DATANG DAHULU SEBELUM FIQH

Ibadah datang dahulu sebelum hukum fiqh. Ibadah bermakna taat dan patuh, ikhlas dan tunduk kepada Allah. Ibadah lahir kerana taat, lahir kerana syukurnya hamba kepada Allah.

Ibadah datang dahulu sebelum lahirnya fiqh. Contohnya ibadah solat. Nabi menerima ibadah solat dahulu sebelum diajarkan kemudiannya olah malaikat Jibril. Para sahabat diriwayatkan membaca tahiyat dengan berbagai bacaan, sehinggalah Rasulullah s.a.w. mengajarkan bacaan yang sama seperti yang dibaca hari ini.

Seorang sahabat membaca semasa iktidalnya; sami Allahu liman hamidah; rabbana wa lakal hamdu mil ussamawati wal ard, hamdan kathiran tayyiban mubarakan fiihi. Usai solat baginda bertanya siapa yang membacakan zikir ini? Baginda memberitahu lebih 10 ribu malaikat membacakan doa yang sama.

Para sahabat amat mengerti soal ibadah. Mereka kreatif dalam mencari redha Allah, kerana faham ibadah itu tiada sempadan dan batasannya menghubungkan manusia dengan Allah yang maha perkasa.

Hari ini kadang kala kita terlebih mengutamakan soal fiqh tanpa mengutamakan ibadah. Ibadah dibicarakan dahulu soal fiqh yang bercabang-cabang aliran dan mazhabnya. Tidak pada soal asas ibadah itu sendiri. Ibadah akhirnya lebih memberatkan soal fiqh yang kecil-kecil, tanpa memberatkan soal ‘mengakrabkan hubungan hamba dengan Tuhannya’. Akhirnya ibadah kita hanya menjadi amalan ritual tanpa ruh, amalan ritual pembetulan hukum hakam fiqh semata-mata.

Menjadikan fiqh semata-mata sebagai ukuran dalam ibadah, terkadang kita hanya tahu mencari salah orang itu dan salah orang ini ketika ibadah mereka. Akhrinya kita membentuk satu sikap yang suka menghukum, tidak membimbing atau membantu mereka yang memerlukannya.

Di sini bukanlah saya menafikan perlunya fiqh dalam penetapan ibadah. Tanpa fiqh, ibadah kita tidak sah, tidak sempurna. Namun melebih-lebihkan pertelingkahan fiqh dalam waqie semasa, ada kalanya menghilangkan ruh dan seni ibadah itu sendiri.

No comments: