Jumaat tadi membincangkan peranan seorang bapa atau suami dalam rumah tangga. Besar dan berat tugas bapa dan suami. Semua kejelekan dan dosa yang berlaku dalam rumah tangga adalah bebanan seorang bapa yang menanggungnya. Begitu juga segala kebaikan dan keelokan dalam rumah tangga adalah habuan dan pahala kepada seorang bapa.
Bapa adalah pencetus yang mencorakkan rumah tangga. Jika anak tidak mahu solat, ia bermula dengan bapa. Bapa yang tidak mahu menjaga dan mendidik anak-anak solat, maka tentunya si anak tidak akan solat. Sedangkan menyuruh anak solat itu sepanjang hidup anak itu perlu diingatkan. Tidak cukup sekadar ajakan jom solat, malah kena dipaksa dan disuruh betul-betul sepanjang masa untuk melazimi anak bersolat.
Bapa adalah teladan anak-anak. Jika anak tidak mahu bersekolah, puncanya bapa yang tidak mengambil berat; anak tidak tahu pulang sebelum Maghrib kerana itulah resam ibu bapa yang ditunjukkan; anak-anak tidak pandai mengaji juga punca yang sama. Pendidikan bukan sekadar menghantar anak ke sekolah kebangsaan dan sekolah agama sahaja dan senang-senang seorang bapa mencuci tangan. Ia jauh lebih daripada itu.
Anak-anak tidak ada al-Quran di dalam dada kerana kita sendiri yang mengajar anak dengan lagu-lagu pada sepanjang perjalanan kita. Tidak kita biasakan dengan al-Quran dibaca bersama anak-anak, bertambah malanglah kita.
Saya sebutkan begini bukanlah bermaksud kita ini sempurna, tidak sama sekali. Ia adalah ingatan bersama. Ia adalah panduan bersama untuk kita melahirkan generasi yang lebih baik daripada kita.
Saya akhiri khutbah dengan doa semoga kita semua dirahmati Allah. Selamatkanlah kami semua.
No comments:
Post a Comment