MAGHRIB (23 Feb) saya mendapat maklum pemergian Hajah Bechik Bt Hj Othman buat selama-lamanya. Dia seorang qariah yang pernah mewakili Johor sekitar tahun 90an, bertugas sebagai guru agama dan guru al-Quran (terutamanya untuk persiapan qariah) di sepanjang hayatnya selama 63 tahun.
Beliau meninggalkan dua orang anak, Nurul Jannah dan Asyraf yang dikatakan sakit sejak awal tahun 2012 akibat serangan jangkitan kuman dan kanser kelenjar. Ramai yang menziarahi di rumahnya di Batu Anam sejak dimaklumkan pemergiannya pada jam 4.30 petang.
Saya mengenali arwah dalam mesyuarat biro pelajaran daerah, pada ketika itu dia agak keras memarahi tadika yang dikatakan menentang kerajaan. Saya sendiri berdesing mendengar tohmahan sepertinya itu, dan dengan beberapa hujahan (pada pandangan positif) mengharapkan setiap sumbangan kepada ummah perlu dihargai. Di situ ada kebaikannya.
Ketika membuka tutupan wajah jenazah, ternyata cukup berseri rupa seorang guru al-Quran dengan ribuan murid-muridnya mendapat bakti. Saya cemburu sendiri. Mungkinkah ada anak-anak murid saya yang akan menziarahi dan mendoakan ketika ajal saya sampai? Hajah Bechik telah mendapat habuannya, bagaimana kita?
Usai membaca Yasin, saya doakan dalam bahasa Melayu, dan kelihatan murid-muridnya mengesat air mata... Allahumaghfirlaha...
No comments:
Post a Comment