Dalam surat beranak saya, dicatatkan umur emak ketika itu 42 tahun. Saya hanya diberi peluang oleh Allah untuk memanggil emak dalam tempoh tujuh tahun sahaja. Bermakna emak meninggal dunia pada ketika umurnya 48 tahun setelah sakit uri-uri selama seminggu genap. Tarikhnya pada 11 Februari 1972 (menutur dalam catatan ayah) ketika saya baru masuk Darjah 1.
Pada saya, emak seorang yang cantik yang berambut panjang lebat hingga ke punggung. Sebagai suri rumah di kampung, kerjanya menoreh di kebun getah tepi rumah berkongsi sebahagian dengan Mak Cik Melah. Kami tahu garis pembahagian dengan ditandakan pada batang pokok getah.
Pada musim padi, dia ke bendang menguruskan bendangnya di Taban mahupun di Kampung Tanjung. Jauh sebenarnya jika mahu diikutkan lokasinya pada hari ini, tetapi itulah kudrat yang ada, berkedek-kedek berjalan kaki pergi dan balik.
Kami (saya dan Kak Aishah) ditinggalkan bermain di rumah, menguruskan hal ehwal kehidupan sendirian.
Suatu hari saya bangun tidur -tidur siang- emak dan kakak telah tiada. Marah bukan kepalang jadinya. Akhirnya sengaja saya berak di muka pintu sambil menangis. Apabila emak dan kakak pulang, merka membawa buah kait-kait untuk aku yang ditinggalkan. Sukanya saya dapat memakan buah kait-kait (sejenis buah hutan, bulat kecil dari pokok yang berduri). Menyesal pun ada dengan tindakan bodoh berak di muka pintu!
No comments:
Post a Comment