Saturday, March 3, 2012

TOK HAJI TEH

Itulah panggilan kami kepada Hajah Puteh; dipanggilnya Tok Haji Teh. Dia sudah terlalu tua, tetapi masih mahu tinggal di pondok. Pondoknya betul-betul di hadapan rumah Ayah, sedikit ke kiri. Depan rumahnya ada pokok macang, yang malam-malam kami panjat sampai ke pucuk menggegarkan dahan-dahan untuk mendapatkan buahnya. Apabila buah-buahnya berguguran, budak-budak pondok berdekatan (pelajar perempuan) akan segera menyerbu untuk memungut buah. Tetapi oleh kerana kami yang panjat, niat mereka terbuku.

Tok Haji Teh orang beghadon (beradon/ berada dan berstatus). Anak menantunya, Haji Zain pegawai kerjaaan di Kuala Nerang. Namun Tok Haji Teh seorang yang cukup kuat amalannya. Bila ada kelas pengajian sama ada Pak Teh atau Ayah yang mengajar di Madrasah, Tok Haji Tehlah orang yang paling banyak bertanya dari balik tabir. Berbagai soalan dikemukakan yang menampakkan dia seorang yang tahu dan lebih faham daripada murid-murid tua yang lain.

Setiap kali saya pulang bercuti, terutamanya setelah belajar di Kolej Islam, pasti saya akan menziarahi Tok Haji Teh. Saya suka dengan 'moral support' yang selalu diberikan kepada saya. Tok Haji Teh nampak lebih berpihak kepada saya dalam banyak perkara.

Antara perkara yang ditanya ialah doa-dao yang diamalnya. Saya sendiri tidak beramal, bagaimana mahu menjawab pada amalan seorang tua yang ikhlas sepertinya? Alhamdulillah kerana beberapa doa yang ditanya dari rangkuman al-Makthurat yang kami hafal di KIK. Boleh juga saya menjawab dan membantu hafazan Tok Haji Teh.

"Tok ni tak pane pa. Ee, boleh ke tok baca qulhu saja. Yang len tok tak thu, tok baca qulhu saja le siang malan."

Alhamdulillah, bacalah Tok. Bacalah qulhu, zikirlah 'lailahaillah' sebagai amalan tok.

Maka diapun membacakan zikir; Lailahaillah fi kullu lamhatin wanafasin bi 'adadi kulli maklumatika wa midada kalimatik..."

Saya hanya mengiya.

Tok Haji Teh kembali pada umurnya yang panjang melebihi 110 tahun. Saya amat khilaf kerana tidak berkesempatan menemuinya sebelum dapat melepas rindu setiap kali berada di Pondok.

No comments: