Mak Lang Nah (Siti Aminah) anak ketiga dalam keluarga sebelah emak. Mak Long tinggal di Padang Gelanggang, agak jauh dari Pondok. Mak Lang Nah orang yang tidak banyak berkira, tidak juga banyak bercakap. Mungkin sebab itu emaknya (Tok Jah) lebih suka tinggal dengannya.
Pernah Tok Jah tinggal dengan Pak Teh (anak lelaki), tetapi mungkin tidak serasi dan akhirnya Tok Jah memilih rumah Mak Lang juga. Mak Ngah yang sepondok tidak juga menjadi pilihan Tok Jah, mungkin kerana Mak Ngah tu garang sikit.
Pastinya Mak Lang orang yang lebih sabar, redha dan lunak mendepani sesiapapun. Baik orangnya.
Malah kami (saya dan Kak Aishah) berteduh di rumah Mak Lang untuk beberapa tahun setelah dirasakan kurang serasi dengan Mak Cik Melah. Kami lari malam membawa kain baju ke rumah Mak Lang. (Ya Allah, ampunilah Mak Cik Melah atas singkatnya pemikiran/pertimbangan kami pada ketika itu; umur saya 7 - 10 tahun).
Rumah Mak Lang adalah rumah kayu yang paling buruk di Pondok. Condong hendak rebah dan atap nipahnya berlubang-lubang. Ada tiang kayu besar dijadikan penyendal mengelakkan rumah itu tumbang. Dan di situlah kami duduk bersama-sama; Mak Lang, Tok Jah, Kak Aisyah dan saya. Kak Siah anak Mak Lang telahpun berkahwin dan tinggal di Padang Gelanggang.
Apabila hujan lebat, pastinya rumah itu basah dan kami berlindung di sudut yang tidak basah. Tiada bilik tidur, hanya ada kelambu sebagai pemisah antara kami. Suatu hari hujan lebat dan angin kuat yang menakutkan. Tok Jah yang tidak mampu berrdiri hanya mengesot-ngesot turun dari boknya (tilamnya) bergerak ke hadapan sedikit. Dan pada ketika itulah juga pintu papan besar yang diikat dengan dawai jatuh menghempap tilam tempat Tok Jah duduk.
Ya Allah, saya tidak dapat bayangkan bagaimana jika Tok Jah tidak beralih dari tilam tempat duduknya tadi, pasti luka berdarah jika tidakpun menemui ajalnya di situ. Hanya Allah sahaja yang menggerakkan hati Tok Jah untuk mengesot ke hadapan, dan dia selamat daripada dihempap pintu!
Subhanallah.
No comments:
Post a Comment