Rumah emak terletak di hujung kawasan pondok menghala ke tepi bendang. Lorong kecil tepian rumah Pak Teh menjadi laluan utama, selain ikut lorong depan rumah Mak Ngah Timah. Rumahnya cukup untuk kami anak beranak. Saya kira ayah yang bina rumah ini. Entahlah, sebab seingat saya rumah itu telah wujud membesarkan saya seketika.
Ia rumah kayu empat segi sama, tinggi lantainya daripada tanah dalam satu meter suku. Satu pintu utama dan satu pintu dapur, tanpa bilik tidur hanya ada ruang dapur dengan gelegar lantainya, dan ruang tidur yang diletakkan tikar mengkuang. Seingat saya, tiada tilam (bok) yang emak sediakan untuk dirinya dan untuk kami (Kak Aisyah dan saya).
Sesekali giliran ayah bermalam di rumah emak, saya jadi malu sendiri. Malu sebenarnya berhadapan dengan ayah. Hari itu saya campakkan sahaja goreh api (pemetik api) ke ribaan ayah. Emak menegur.
"Tak baik buat macam tu Mad Ee.."
Saya malu dan bersembunyi di belakang pintu!
Ada tikanya saya kencing malam, sedangkan ayah ada bersama. Emak merungut-rungut, tetapi saya tidak faham apa-apa ketika itu. (Ya Allah, ampunilah kesalahanku pada emak dan ayah kerana gangguan yang tidak kusedari).
Dapur di rumah emak adalah yang paling simple. Orang kampung pada ketika itu, itulah sekadarnya yang termampu. Sebuah dapur kayu bertuku tiga yang diletakkan di atas pangkin, hanya satu satu dapur sahaja. Masak nasi biasanya diikuti sekali memanggang ikan masin dengan penyepit perenggan. Masak sahaja nasi, maka masaklah lauk ikan bakar tamban atau ikan yu kering. Sayur tiada dalam resepi kami, jika ada sayurpun, maka sayur itulah sahaja lauk yang dimakan bertemankan nasi.
Dapur emak ada ran/para tempat letak gula, garam atau beras. Boleh juga diletak ikan masin. Biasanya ikan masin digantung betul-betul di atas dapur dengan tali panjang mengikat di halang rumah. Tujuannya supaya kucing tidak dapat panjat dan mencuri ikan masin kami.
Di rumah kecil itulah kehidupan kami berkembang. Ia tidak menyesali siapa-siapa, hanya coretan pada rencam kehidupan yang dilalui.
No comments:
Post a Comment