Radio hanya ada di rumah Pak Daud kaki kudung (dipotong sedikit akibat kencing manis). Rumahnya di pintu masuk ke Pondok. Dia mengajar mengaji kepada budak-budak pondok dan sekitarnya. Selalunya rumah Pak Daud ada kera, keranya dilatih untuk memetik kelapa selain tempat untuk kami acah mengacah si monyet kecil Pak Daud.
Isteri Pak Daud namanya Romah dengan seorang anak Mashitah. Mereka kini berpindah ke Kampung Baru, berhampiran Kampung Pisang.
Jika mahu mendengar lagu-lagu rekod; piring hitam kami selalu bertandang ke rumah Pak Husin Makloh (muallaf). Anaknya Dolah dan Said. Bolehlah kami dengar lagu-lagu A Ramli seperti Intan Liana, Pepatah Pujangga dan lain-lain lagu hindustan. Lagu-lagu hindustan melekat juga dalam diri ini, walaupun tidaklah pernah kami tengok wayang hindustan pada ketika itu.
Pada majlis kenduri kendara, biasanya Pak Su Man ada rekodnya sendiri. Dia diundang memeriahkan majlis kenduri kendara. Speaker digantung tinggi di atas pokok dengan wayarnya panjang disambung ke amplifire berkembar dengan rekod piring hitam. Biasanya dimulai majlis dengan bacaan al-Quran oleh Ismail Hashim, sebelum dipasang piring hitam hindustan dan lagu-lagu Melayu. Lazimnya lagu hindustanlah yang lebih mendapat perhatian.
Di rumah kami tiada radio. (Radio kaset pertama dibeli oleh Abang Teh setelah dia belajar di UKM, radio Toshiba agaknya).
Untuk kanak-kanak seusia kami, apakah radio yang kami boleh buat? Kami buat radio sendiri.
Mula-mula tangkap kumbang yang biasanya membuat lubang di kayu-kayu rumah (kasau atau halang), tangkap dengan berhati-hati kerana gigitannya amat tajam dan sakit. Lebih mudah kami letakkan botol di pintu lubang kumbang lalu kami ketuk kayu kuat-kuat. Apabila kumbang keluar, dia terperangkap di dalam botol.
Biasa juga saya tangkap kumbang ini ketika hinggap di bunga labu. Ia lagi mudah kerana bunga labu berbentuk kun, hanya diletakkan kain perangkap dan dicekup kumbang baik-baik sebelum langkah berikutnya.
Kumbang itu diletakkan di bawah kain dan kain itu diikat di atas permukaan tin susu. Jadi terperangkaplah kumbang di bawah kain dengan kakinya bergerak-gerak di atas tin susu. Kami gerakkan kumbang untuk menghasilkan bunyi dengungnya. Itulah radio kami.
No comments:
Post a Comment