Ayah penghisap rokok daun bertembakau jawa. Tembakau jawa bewarna hitam dan lembab, tidak kelihatan kering seperti kebanyakan tembakau yang diambil oleh masyarakat Jawa.
Rokok daun rumbia boleh kami gunakan untuk dibuat penunjuk al-Quran, jika tiada pilihan lain. Biasanya kami raut sendiri bilah-bilah buluh untuk dijadikan penunjuk Al-Quran. Pantang kalau membaca al-Quran tiada penunjuk. Kurang adab.
Sesekali saya dan Hisyamudin anak Pak Teh ke rumah Tok Jah menghisap rokok daun. Hisap bermain-main tanpa ada apa-apa keinginan.
Suatu hari Ayah meminta saya membelikan tembakau di kedai Abang Wahab.
"Ee, mu gi beli tebako sukuthil di kedai Abang Wabah."
Saya yang mendengar arahan, mencapai duit yang dihulur dan meluru ke kedai Abang Wahab. Saya tidak tahu apa maksud sukuthil yang ayah cakapkan. Hendak bertanya, takut. Hendak memandang mata ayah sendiri pun tidak berani, inikan pula mahu membantah; malah mahu bertanya!
Apa itu sukuthil? Saya tertanya sendiri, mungkinkah secubit atau barangkali ada ukuran tertentu bagi timbangan tembakau. Itu yang menerjah dalam pemikiran saya yang samar-samar mahu mengerti kalimah sukuthil.
Sampai di kedai Abang Wahab, saya ulang semula cakap Ayah.
"Hendak beli tembakau sukuthil.."
Dan yang pelik dan ajaib, Abang Wahab mengambil tembakau dan ditimbang menggunakan dacing kayu dengan ladung batu. Tembakau diserah dan saya pulang memberikannya kepada Ayah yang menunggu di beranda rumah.
Puas saya tercari-cari apakah makna sukuthil. Ia tidak ditemui. Tidak ditemui pada ketika itu.
Hanya setelah dewasa saya mendapat jawapan sendiri akan makna sukuthil. Saya tersenyum sendiri, gembira dan amat teruja.
Sukuthil ialah 'suku tahil'. Sebutan thil memang biasa dipakai kalangan kami warga setempat. Beli ikan 'lapanthil' atau bersamaan setengah kati. (16 tahil satu kati). Namun saya sendiri tidak biasa menggunakan perkataan 'suku' (1/4), jadi kalimah sukuthil tidak pernah masuk ke minda saya pada saat hingusan sepertinya itu.
Sukuthil; kalimah ringkas mengingatkan saya pada Ayah, rokok, tembakau dan meja kerusi kayu berwarna hijau di beranda rumah kami.
No comments:
Post a Comment