Tinek tejatuh adalah kalimah biasa yang kami gunakan bagi menentukan arah. Kami tidak pernah menggunakan tanda arah; utara, selatan, timur dan barat; melainkan setelah masuk bersekolah yang diajarkan cikgu. Tinek tejatuh kepala tido dan kaki tido; itulah tanda arah yang digunapakai warga setempat.
Suatu pagi Ayah hendak menjerat lembu di dalam kandang di Kampung Eto. Apabila musim padi, lembu-lembu (dan juga kerbau) perlu dipasang jerat, dicucuk hidungnya bagi memudahkan kami menjaganya. Lembu-lembu tidak lagi boleh dilepas bebas nanti habis padi di bendang dimakannya. Kerja menangkap lembu walaupun di dalam kandang bukanlah mudah.
Galah buluh panjang yang diikat dengan serawan jerat diacu ke leher lembu yang hendak ditangkap. Saya juga kena memegang buluh berjerat bagi membantu Ayah. Ketika lembu berlari-lari di dalam kandang, Ayah memberi arahan;
"Gi lek tinek! Gi lek tinek! (Pergi ke arah tinek!)
Saya tidak faham arahan yang diberi. Tetapi apabila Ayah mengarahkan sekali lagi dengan isyarat tangannya, fahamlah saya arah yang dimaksudkan. Saya pergi ke arah tinek.
Tinek, kalimah tinek masih baru dalam otak mentah saya ketika itu.
Apa itu tinek?
Akhirnya saya faham juga kalimah tinek setelah berulang kali diguna, setelah berulang kali cuba memahami.
Tinek ialah ringkasan daripada 'matahari naik' (arah matahari naik; timur). Lawan tinek ialah 'tejatuh' (matahari jatuh; barat). Kepala tido ialah arah kepala kita tidur iaitu arah selatan, dan kaki tido ialah arah utara.
Ia seperti bicara orang Perak; 'ke hilir dan ke hulu'. Ke hilir bermaksud menuju ke arah pantai, manakala 'ke hulu' menuju ke arah bukit (banjaran Titiwangsa).
Begitulah indahnya bahasa dan berbahasa!
No comments:
Post a Comment