Lebai Bagus (nama sebenarnya Lebai Jaafar) dikenal penduduk setempat di Padang Terap. Digelar 'bagus' kerana selalu menyebut bagus-bagus dalam bicaranya. Apa-apa sahaja cakapannya mesti diikuti dengan kalimah bagus-bagus berulang kali. Dialah Lebai Bagus.
Satu lagi keistimewaan Lebai Bagus kerana dia pandai memelihara kerbau untuk diambil susunya. Boleh dikatakan setiap hari dia memerah susu kerbau, sehari dalam segelen (dua liter lebih atau ukurannya satu jag penuh). Setiap hari ada pelanggan yang datang mengambil susu segar dua ringgit satu jag! Biasanya kami menempah sehari sebelumnya bagi mengelak bertembung dengan pelanggan lain.
Susu kerbau perlu dimasak dahulu. Mendidih dan dikacau tanpa henti bagi mengelakkan berkerak untuk dimakan bersama pulut dan sedikit air garam. Itu menu istimewa yang sesekali kami dapat.
Suatu petang saya menempah susu kerbau kepada seorang pengusaha lain (terlupa sudah namanya) dan keesokan harinya dia menghantar di depan pintu rumah. Emak saya kehairanan.
Siapa yang minta?
Mad Ee...
Dan emak membayar harga susu sebelum pulut ditanak dan dimakan bersama-sama anak beranak.
Setelah pergi haji, Lebai Bagus dipanggil Haji Bagus. Namun Haji Bagus menukar identitinya. Kalimah bagus digantikan pula dengan perkataan 'molek'. Kami kurang biasa dengan panggilan Haji Molek, walaupun itulah trade mark baru yang dibawanya. Kami panggilnya juga Haji Bagus. Lagi sinonim Haji Bagus dan susu kerbaunya.
No comments:
Post a Comment