Ayah tugaskan saya untuk menjaga lembu. Sekawan lembu
tidaklah berapa ekor, 7 - 12 ekor sahaja. Namun ia tetap satu tugas yang perlu
dibuat. Pada musim padi (kami sebut ‘menanam padi’) lembu-lembu perlu ditambat,
tidak boleh dilepas. Bimbang akan merosakkan bendang orang. Ibu-ibu lembu dan jantannya perlu ditambat.
Tambat pada anak-anak pokok gelenggang atau anak pokok rumput yang kuat. Tali
perawan dicucuk pada hidung lembu, manakala tali penambat disambungkan ke tali
perawan sepanjang 10 meter untuk membenarkannya meragut rumput.
Sesekali Ayah sediakan pancang diikat pada tali lembu dan
dipasakkan ke bumi.
Lembu kami tidak dipasang ketuk-ketuk. Kerbau dan lembu Pak
Long Pi biasanya dipasang ketuk yang diperbuat daripada kayu digantung di
lehernya. Apabila lembu hilang, kononnya memudahkan sipemunya mencari di sana
sini.
Saya kena pastikan lembu mendapat makanan yang cukup. Perlu
dibawa ke telaga untuk diberi minum, ataupun ke pinggir sawah. Tapi itu bahaya
kerana jika termakan padi, alamatlah kena marah. Lembu yang ditambat perlu
dialihkan beberapa kali dalam sehari. Menceduk air telaga ke dalam besen untuk
minuman lembu, suatu kebiasaan yang jelak.
Suatu ketika Ayah melepaskan lembu di kawasan belukar yang
terkepung dek hutan. Lembu-lembu hanya perlu dilepaskan pada waktu pagi dan
dibawa pulang pada waktu petang. Rutin ini lebih mudah berbanding perlu
dialihkan tambatannya setiap dua jam! Saya perlu membawa lembu ke belukar
(Kampung Baru ke arah bendang Chucuh) hampir setiap hari. Kadang kala dengan
Mad Chi, kadang kala dengan Kak Aisyah. Kami hanya tarik ibu lembu dan lembu
jantan, dan yang lain akan menurut di belakang.
Saya kenal lembu kami. Lembu kami juga kenal akan kami.
Jumpa di mana-manapun lembu, tetap kami akui;
‘Ha, itulah lembu kami.” Sekawan.
Suatu hari lembu jantan besar hilang. Sudah tiga hari lembu
jantan tidak ditemui. Ayah mencari ke sana sini, namun tidak ditemui. Akhirnya
ayah meminta saya untuk mencari lembu jantan itu.
“Ah, saya yang kena cari?’
Akur, akur tanpa bantah. Saya ke hutan belukar arah jalan ke
bendang Chucoh, masuk ke simpang kanan ke tengah hutan. Itulah naluri saya.
Naluri kecil seorang anak kecil kerana menunaikan suruhan Ayah. Takut memang
ada, tetapi hutan belukar itu tempat mainan dan tempat mencari kayu api
seberkas dua.
Alhamdulillah. Saya temui lembu jantan yang hilang. Jeratnya
tersepit antara celahan pokok, sedangkan hidungnya luka berdarah yang tidak
kuat lagi untuk menarik tali yang tersangkut. Kasihan. Kawasannya telah jadi
gelebuk dek beberapa hari terperangkap di situ.
“Mu jupa lemu di mane?” Tanya Ayah.
“Di hutan jalan ke Chucoh..”
“Emm..”. Ayah berterima kasih, tetapi suara Ayah tidak
pernah terlafaz perkataan ‘terima kasih’.
Saya mengerti.
No comments:
Post a Comment