Ia bukan cerita dongeng dalam hikayat klasik yang pernah
kita baca. Ia kisah benar yang kami lalui. Mencari kayu api adalah tugas lain
yang perlu dibuat bersama-sama dalam sebuah keluarga. Paran kayu api hendaklah
sentiasa penuh, kayu hutan yang kecil mahupun kayu getah yang besar
seketul-seketul.
Kayu getah yang besar perlu digergaji dalam setengah meter
panjang sebelum dibelah dengan kapak. Saya tidak sekuat Mad Chi untuk membelah
kayu-kayu getah yang besar. Biasanya kayu getah yang kecil dan tidak beruas
lebih mudah dibelah dan itulah pilihan saya. Mad Chi lunaskan yang berbaki, cheewah.
Kayu-kayu hutan sebesar lengan kami tebang dan berkas dengan
akar. Akar palas lebih mudah dicari, daripada akar yang lain. Asal ada akar,
kami ikat. Kami junjung bawa balik seberkas-seberkas ke rumah. Di rumah
kayu-kayu perlu dipotong sehasta-sehasta sebelum disusun seperti bangunan kecil
untuk dikeringkan. Setelah kering barulah kayu berkenaan diletakkan di atas
paran di bawah rumah bagi mengelakkan terkena hujan. Kayu yang betul-betul
kering memudahkan urusan memasak di dapur.
Ada kalanya kami mencari ranting-ranting getah di tepi
rumah. Saya pernah memanjat pokok-pokok getah untuk membuang dahan-dahan mati
untuk dijadikan kayu api. Ia lebih mudah dicari, lebih mudah menyala dan lebih
cepat habis berbanding kayu-kayu hutan.
No comments:
Post a Comment