Thursday, May 31, 2012

KERETAPI

Keretapi

Terlalu lama kami tidak menaiki keretapi. Ia menjadi asing. Awalnya saya merancang berkeretapi dengan Afif, namun ramai yang mahu ikut sama. Jadilah akhirnya ia satu perjalanan keluarga berkeretapi ke Kuala Lipis.

Kuala Lipis destinasi yang kami pilih. Tiada alasan yang kukuh hanyalah kerana itu penghujung perjalanan keretapi ‘shuttle’ yang tersedia. Keretapi shuttle adalah free sitting, tambang murah dengan dua gerabak berulang alik dari Johor Bahru ke Kuala Lipis, dan sebaliknya.

Kami menunggu di Hentian Gemas seawal jam 11 pagi, jadual berlepas pada 1.05 melewati desa dan kampung, hutan dan lading sawit berjajaran begitu mengasyikkan. Selangkah di dalam gerabak, terhimbau 20 tahun lalu ketika kami berulang alik dari Kuala Lumpur ke Alor Setar atau Pulau Pinang di Tingkatan Empat – Enam, Kolej Islam Kelang. Rentak irama dan buai yang terbuai adalah sama. Deruman dan geserannya tetap sama, walaupun kerusinya lebih selesa untuk dua-dua orang.

Gerabak yang kami duduk awalnya panas. Tiada aircond, rosak tentunya. Selepas Bahau, baharu kami berpindah sedikit-dikit ke gerabak kedua yang lebih nyaman beraircond. Perjalanan itu sendiri adalah suatu pengalaman teruja untuk anak-anak. Ia menarik sekali, terutamanya Ibrahim dan Sara yang dapat menghayati erti keseronokan berkeretapi.

Lagu Ekspress Rakyat dendangan Kembara seakan menghimbau pada ingatan masa lalu.

Membawa daku ke alam impian
Di dalam keretapi malam yang dingin

Bekalan nasi bungkus, jambu potong, kerepek dan kuih muih sekadarnya untuk kami nikmati. Namun lebih teruja makanan yang sedikit itu dapat dikongsi dengan anak-anak lain, kami makan bersama-sama dalam suasana mesra walaupun tidak kami kenal. 1Malaysia!

No comments: