Filem Chow Kit sedaya upaya memaparkan realiti sebilangan kecil
penghuninya. Ia punyai dua cerita @ dua heavy drama dalam satu wayang. Cerita
satu tidak ada kaitan dengan cerita dua, usah cuba dikaitkan cerita satu dengan
cerita dua kerana dua-duanya berbeza. Ia lebih memudahkan anda menontonnya.
Cerita satu pada
pengkisahan gelandangan kanak-kanak Chow Kit. Mereka adalah anak kepada
pelacur, anak kepada peniaga kecil yang terlibat dengan dadah dan peminta
sedekah. Anak-anak telah faham apa kerja emak; "Emak pergi kerja malam ni,
awak balik awal. Kunci pintu."
Anak-anak faham
kerja emak walaupun sampai ke rumah tumpangan kecil mereka di atas kedai
lorong-lorong belakang Chow Kit. Anak-anak seakan kena membenarkan emaknya
'bekerja' walaupun di tempat tidurnya sendiri. Oleh itu, soal emak tidak boleh
disentuh, soal emak jangan dikomen oleh sesiapa. Sanggup bertumbuk bergaduh
besar.
Anak penagih dadah
tentunya lebih kronik, memerhati si bapa menagih dadah, meminta sedekah untuk
sesuap nasi, mencuri kasut ketika jemaah bersolat. Realiti.
Penonton dipaparkan
nilai kemanusiaan secara halus. Dalam gelojak 'hitam' Chow Kit, filem ini
berjaya menyelitkan nilai keinsanan sejagat. Ibu pelacur tidak mahu anaknya
jadi pelacur (dinodai), bapa penagih tetap sayang anaknya yang dipukul setelah
mencuri, si abang menangis melihatkan adiknya demam di dalam rumah kotak di
tepi sungai Gombak. Namun dalam kancah 'hitam', si anak gadis tetap tidak
selamat untuk menjaga kehormatannya; dan ia berakhir dengan balas dendam,
menyudahkan ceritera.
Kisah kedua
berlingkar pada aktiviti kumpulan haram, pembunuhan dan penodaan berpanjangan.
Untuk melontarkan sedikit pemikiran dan pertimbangan penonton, dipaparkan
adegan pemerkosaan balas dendam oleh dua watak 'jahat'. Ketika penjarahan
pertama terjadi; bagi menyelamatkan keadaan, bekas pelacur 'menolong' rakan
yang diperkosa dengan mengumpan tubuhnya kepada seorang lelaki lain yang sedang
menunggu giliran. Ini yang dikatakan 'tolong'.
Sukar hendak saya
bahaskan soal hukum agama dalam pemaparan realiti Chow Kit. Mungkin dari sudut
lain yang boleh dibahaskan. Konflik sosial; konflik sosial dan kaitannya dengan
agama.
Masyarakat.
Kebiasaan (norma) menjadi budaya, budaya sukar hendak diubah. Kelompok pelacur
yang berumahtangga di situ, mencari makan dan membesar anak-anak di situ,
tentulah sukar hendak mengubah gaya hidup baru; hendak mencari ruang dan
peluang hidup baru. Sukar. Sukar pada pemikiran dan pertimbangan mereka di
SITU. Dari sudut kita yang melihat, kita punyai beberapa pilihan lain yang
mungkin senang untuk menyalahkan mereka. Senangkah mahu memindahkan rumah
mangsa banjir ke kawasan penempatan baru yang lebih selamat? Belum tentu
semudah itu.
Begitu juga
anak-anak yang membesar dalam situasi 'gelap', yang sebenarnya mereka tidak
sedar 'gelap' itu suatu yang 'gelap', putih dan bersih itu suatu fenomena asing
yang mereka tidak pernah temui. Itukan 'kerja' emak, kerja emak untuk menyara
hidup seharian, biar bagaimanapun kerjaya si emak, kerjaya tetap kerjaya. Norma
berkait rapat dengan makanan dan keperluan. Aktiviti pelacuran ada permintaan,
ada pelanggan yang silih berganti dan terus berkembang di mana-mana sudut
dunia. Dunia Chow Kit sama sahaja di Jalan Wong Ah Fook, Johor Bahru, di Jalan
Bandaran Jaya Kota Kinabalu atau di mana sahaja. Ada permintaan dan ada tawarannya.
Saya melihat
agensi kerajaan perlu melihat perkara ini dengan lebih halus. PM DS Najib tidak
mungkin melihat perkara ini, tidak juga parti politik lain walaupun sesekali
mereka turun padang mengambil gambar. Agensi zakat punyai peluang dan ruang
luas membantu warga gelandangan sosial seperti mereka. Langkah utama ialah
mendekati warga berkenaan, diberi sedikit ruang ilmu dan agama, diberi sedikit
idea dan pemikiran, diberi sedikit daya fikir untuk berubah, diberi sedikit
ruang dan peluang perniagaan dan kemudahan, yang akhirnya bisa merubah
sebahagian kecil gelandangan sosial ummah.
Saya sekadar
berani memerhati, tidak jauh daripada itu. Beranikah kita melakukan sesuatu
untuk Chow Kit dan Wong Ah Fook yang sentiasa hidang terbuka!
1 comment:
Assalamulaikum Tuan. Saya Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib dari akhbar utusan malaysia. Saya ada hendak buat sedikit mengenai pendapatan peneroka dan kuasa beli mereka. Saya ada baca UITM tuan pernah buat kajian bertajuk "Ragam pendapatan dan perbelanjaan masyarakat Felda: Kajian di Johor, Pahang dan Negeri Sembilan". boleh ke saya interview tuan mengenai dapatan tuan melalui kajian itu, harap tuan dapat tolong saya. Tuan boleh beri no telefon untuk saya hubungi. nie emel saya shahrinnahar@gmail.com
Sekian terima kasih.
Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib
Utusan Melayu (Malaysia) Berhad cawangan Pahang,
No. 18 Bangunan LKNP,
Jalan Bukit Ubi,
25200, Kuantan, Pahang.
Post a Comment