Malam tadi aku sampai ke kampung, sampai ke Pondok. Bertuah
rasanya dapat kembali ke tempat tumpah darahku, tempat aku dibesarkan mengenal
alam, mengenal Tuhan. Mad Chi memelukku erat, Ida juga amat teruja, aku sendiri
mahu sahaja memeluknya jika bukan kerana Islam melarangnya, aku pasti lakukan
begitu. Aku terlalu teruja, gembira. Syukur.
Lontaran pembesar suara ceramah di Sekolah Pak Teh mendorong
aku untuk hadir, untuk ikut serta. Bukan sekadar mahu mendengar ceramah, yang
terlebih penting aku mahu bertemu saudara mara dan guru-guru yang mungkin aku
kenal, yang barangkali mereka masih kenali aku.
Lotehan ceramah menguja. Ia ibarat sebuah sendiwara dan
lakonan penceramah, tukang karut yang boleh menghiburkan penonton danpendengar.
Sesekali ada yang mengena atas batang hidungku akan isi ceramahnya.
Aku temui Makteh, Maklong Harah, dan itu sahaja yang aku
kenal. Yang lain aku tidak berapa kenal. Seusai ceramah aku ke barisan hadapan.
Ustaz Hadi Hj Haron masih aku kenal. Yang lain, aku bersalaman seolah-olah
kenal, tetapi tidak kuketahui nama yang sebetulnya. Lupa.
Haji Husin aku kenal. Oh ya, tadi aku bertemu Kak Chah,
tetapi aku lupa siapa namanya!
Berpelukan dengan Pak Teh, ternyata dia masih boleh berjalan
walaupun kena dipimpin sebaiknya. Masih kuat walaupun fizikalnya sudah lama
dimakan usia. Pak Teh tetap Pak Teh.
“Oh Ee, mu balik bila?”
Tiada seorang gurupun yang aku kenal di Sekolah Pak Teh. Aku
mahu sahaja bertemu pelajar SPM atau PMR untuk aku berceloteh dan memberi
semangat kepada mereka, tetapi aku hampa kerana tiada siapa peduli kehadiranku,
selain orang-orang pondok yang berapa kerat masih aku kenal. Sekolah Pak Teh benar-benar telah begitu
asing dengan hidupku. Janggal.
Ya aku barangkali terlupa, ia bukan lagi Sekolah Pak Teh,
tetapi Maktab Mahmud Padang Terap.
No comments:
Post a Comment