Menonton filem OLA BOLA memberi kesan tersendiri kepada saya.
1. Tahniah kerana penonton dihidangkan kisah yang lain daripada filem yang biasa ditonton. Ia kisah bola bukan kisah cinta dan konflik rumah tangga atau cerita hero-hero bikinan yang memualkan.
2. Filem ini berjaya menguktip RM8 juta sehingga kini dan ia masih mendapat sambutan. Filem yang baik tidak perlu pelakon popular, tidak juga perlu artis seksi sebagai hidangan mata, sedangkan lakonan hampeh sebegitu sahaja.
3. Era 80an dan sebelumnya, dunia sukan Malaysia diisi oleh pelbagai kaum. Tiada ada rasis dalam sukan. Bola semua orang main, baik Melayu, Cina, India dan orang Sabah. Tetapi kini, dunia sukan kita (termasuklah bola) telah didominasi kaum tertentu, adakah orang CIna sudah tidak mahu main bola lagi?
4. Peminat dan penyokong dahulu lahir semulajadi, tidak kira bangsa mereka tekal menyokong Malaysia. Ini kelebihan OLA BOLA yang berjaya menampilkan kesungguhan penyokong walaupun ada yang berdiri di luar pagar dan memanjat pokok...
5. Filem ini berjaya memaparkan realiti Malaysia, biarpun ia banyak difokuskan kepada TAUKEY berketuruan Cina, namun ia memalaysiakan rakyat dari semua kaum tanpa prajudis.
6. Bola kita dahulu jauh terkehadapan, kita menjadi juara Asia, dan kenapa kini bola kita jauh ketinggalan dalam gelanggang sendiri sahaja?
7. Kita punyai pemain yang hebat seperti Mokhtar Dahari, Soh Chin Aun, James Wong (Sabah), Santokh Singh, Khalid Ali, Chow Kok Keong, Arumugam dan mereka terbina sebagai sebuah pasukan yang mantap. Kenapa kini kita hilang kekuatan ini?
8. Pemain kita dahulu terpaksa bekerja dan bermain, mereka bukanlah pemain profesional seperti hari ini, namun kekuatan mereka jauh melebihi apa yang kita miliki hari ini.
9. Nilai kemanusiaan berjaya diserlahlah OLA BOLA, perhatikan ketika wartawan (pelakon perempuan) kali pertama bertemu TAUKEH, dia mengalirkan air mata. Gembira dan teruja dengan kehebatan yang dilalui TAUKEH untuk berjaya dalam dunia sukan. Begitu juga ketika adik TAUKEY menyebut dia lulus semua A dalam MCE tetapi masih rela bekerja di rumah menjahit baju dan menoreh getah, ia amat tersentuh.
10. Realiti 80an berjaya diserlahkan sebaiknya, perhatikan rumah kongsi usang, suasana kebun getah, alatan mesin getah, tv dan radio, fun fair, kostium yang digunakan, kilang kain, ladang kelapa, monyet, malah keletah anak-anak India yang benar-benar menjiwai semangat pada ketika itu.
11. Dialog ringkas dan padat sudah cukup untuk menjiwai watak dan masa; Kalau dah siang baru nak menoreh, susu pun dah tak nak keluar. Balik lah.. Ia adalah realiti dan ilmu yang perlu difahami dalam dunia kecil penoreh getah.
12. Lori hijau mengangkut kelapa itu kurang sesuai, kerana jarang kita dapati lori berwarna seperti itu wujud pada era 80an. Mungkin lori merah sesuai, atau lori hitam sahaja.
13. Sukan melibatkan politik, walaupun politik seharusnya tidak menjejaskan sukan. Hari ini, politik telah menjahanamkan sukan, itu yang pasti.
14. Filem ini perlu ditonton sehingga habis, usah keluar panggung lagi selagi tidak tamat. Ada adegan yang hendak ditunjukkan pada babak akhir. Ia menarik. Malah saya sendiri mahu membaca semua nama-nama pelakon dan belakang tabir yang dipaparkan, namun tidak mungkin terbaca kerana ia terlalu ramai dan banyak.. Saya teruja melihat setiap keping foto lama dipaparkan. Ada Mohktar Dahari, Soh Chin Aun, Santokh Singh, Perdana Menteri Hussin Onn dan lain-lain. Ia sebuah dokumen sejarah. Dan babak terakhir untuk menyatakan BOS itulah yang menjadi pengulas langsung pada perlawanan Malaysia-Korea... gol gol gol....
15. Pandangan udara pada alam fauna Malaysia dengan hutan dan sawah padinya sudah cukup untuk menanamkan rasa kasih cinta kepada negara. Ia amat cantik dan hati serentak terpahat pada negara ini.
16. Dua kali saya menonton OLA BOLA.
Tahniah dan terima kasih kerana mendekatkan diri untuk cintai Malaysia dan rakyatnya... (Maaf tidak kepada warga Benggala berjumlah 1.5 juta itu)
No comments:
Post a Comment